SEGAMAT: Seorang guru agama di Sekolah Agama Felda Moakil yang baru pulang bersama anaknya dari bazar Ramadan maut manakala anaknya mengalami cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka telah dirempuh oleh sebuah kereta.
Memetik laporan Sinar Harian,Ketua Polis Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, ketika kejadian mangsa Jamaluddin Abdullah, 43, dan anaknya, Mohd Faqih Helmi, 9, baru pulang dari bazar Ramadan ke rumah mereka di Taman Bukit Indah, Bukit Siput,
“Setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta Proton Saga FLX yang dipandu laju oleh seorang lelaki berumur 30-an dari arah Labis-Segamat hilang kawalan selepas mengelak kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu berpusing sebanyak sekali sebelum melanggar bahagian kanan motosikal yang dinaiki mangsa dan anaknya itu. Akibat pelanggaran itu, mangsa dan anaknya tercampak beberapa meter dari motosikalnya,” katanya.
Mangsa mengalami cedera parah di kepala dan anggota badan meninggal di tempat kejadian manakala anaknya pula mengalami patah kaki kanan.
Pemandu kereta berkenaan hanya cedera ringan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Isteri mangsa, Mahfuzah Mohamad, 40, ketika ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat tidak menyangka suaminya akan pergi meninggalkannya di bulan Ramadan ini.
“Pada petang sebelum kejadian, dia (suami) ada memberitahu bahawa dia ingin pergi ke Bazar Ramadan Paya Pulai bersama anak bongsu kami untuk membeli juadah berbuka puasa.
“Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya pada bulan Ramadan ini dan selepas ini saya perlu membesarkan tiga anak saya seorang diri. Saya juga belum buat perancangan sama ada mahu pulang ke kampung di Pagoh atau terus tinggal di sini,” katanya.
Menurutnya, jenazah mangsa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Besar, di sini. - Siakapkeli.my