PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan bertegang urat dengan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim akhirnya mahu isu antara mereka berdua ditamatkan.
Malah media juga digesa menghentikan memainkan isu tersebut.
Saya tahu anda terhibur dengan apa yang berlaku. Apa yang ingin saya sampaikan telahpun saya katakan.
"Sekiranya terdapat apa-apa yang ingin saya sampaikan, saya akan memaklumkannya kelak. Saya akan terus bersuara demi rakyat dan kepentingan negeri saya.
"Buat masa ini, biarlah kita tamatkan isu berkenaan saya dan Datuk Nazri kerana ianya tidak kemana, dan secara jujurnya, saya pun sudah bosan dengan hal ini," katanya menerusi Facebook Johor Southern Tigers.
Tuanku dalam masa sama sempat berseloroh supaya menganjurkan acara tinju antara Baginda dan Nazri.
"Kalau anda mahu ianya lebih menarik, boleh diadakan satu perlawanan tinju antara saya dan Datuk Nazri, dan hasil kutipannya boleh disalurkan untuk tujuan amal...saya hanya bergurau," katanya.
Perang antara Tuanku Ismail dan Nazri tercetus apabila putera Johor itu memuat naik komen di Facebook berhubung ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis dialog 'Nothing2Hide' pada awal Jun lalu.
Nazri kemudiannya memberi amaran kepada Tunku Ismail agar menjauhkan diri dari politik atau akan menerima 'padah'. -Siakapkeli.my