KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang kini pengerusi Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru), sebuah parti serpihan PAS, dilihat cuba mengelak menjawab persoalan berkaitan lafaz bai'ah yang hangat diperkatakan kini.
Memetik laporan Astro Awani, Mat Sabu sebaliknya berkata beliau lebih senang merujuk pandangan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Wan Mohd Noor bahawa sumpah bai'ah tidak boleh dikaitkan dalam politik.
"Saya bukan ahli agama jadi saya berpandu kepada pandangan mufti negeri," katanya dipetik portal berkenaan.
Isu sumpah bai'ah melingkari kumpulan progresif PAS yang menyertai parti baharu itu, apabila ia dibangkitkan susulan tindakan mereka yang mengkhianati parti.
Selain Mat Sabu, beberapa pemimpin PAS lain yang turut menyertai Harapan Baru adalah bekas naib Presiden, Salahudin Ayub; bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud, dan Dr Dzulkefly Ahmad.
Kesemua mereka menubuhkan parti baru itu selepas kalah dalam pemilihan parti, baru-baru ini.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini mengesahkan kewujudan lafaz bai'ah berkenaan yang diguna pakai sejak 2004 lagi kepada mana-mana wakil rakyat Kelantan jika mahu meninggalkan parti Islam tersebut.
"Ba'iah itu memang betul. Seperti dinyatakan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan Datuk Daud Muhammad. Perkara ini bukan main-main," petik kata Menteri Besar Kelantan itu.
Daud sebelum ini berkata, mana-mana individu yang melafazkan dan melanggar sumpah dengan menyertai parti lain, maka perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrarkan itu adalah sah. -Siakapkeli.my