Baiah Talak Tiga Jika Keluar Parti Wujud - Timbalan Mursyidul Am PAS
KOTA BHARU – Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob hari ini mengesahkan bahawa sumpah bai'ah talak tiga yang perlu dilafazkan oleh wakil rakyat PAS Kelantan jika keluar parti itu untuk sertai parti lain sememangnya wujud.
Menurut Ahmad Yakob, perkara itu diguna pakai sejak tahun 2014 lagi dan tertakluk kepada mana-mana wakil rakyat PAS meninggalkan parti tersebut untuk ke parti lain.
“Bai’ah itu memang betul. Seperti yang dinyatakan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan (Datuk Daud Muhammad), perkara ini bukan main-main,” katanya memetik pas.org.my
Ahmad Yakob berkata sedemikian ketika diminta mengulas tentang isu sumpah bai'ah yang kini berlegar-legar di aplikasi WhatsApp.
Menurut Datuk Daud Muhammad, mana-mana individu yang melanggar sumpah dengan menyertai parti lain perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang telah diikrarkan itu sah.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut sama ada ia mempunyai kaitan dengan talak kepada isteri, Ahmad Yakob berkata perkara tersebut terkandung dalam akaun sumpah berkenaan. - Siakapkeli.my