Setiap kali tibanya Ramadhan, isu sijil halal di kalangan pengusaha makanan akan kembali diperkatakan.
Menyedari hal itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menggesa kesemua pengusaha makanan segera memohon dan mendapatkan sijil halal sebelum mempromosikan Bufet Ramadhan.
Permohonan boleh dilakukan di Majlis Agama Islam negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Di JAKIM, kita ada kaunter khusus yang dapat mempercepatkan urusan permohonan sijil halal sempena Ramadan dan permohonan masih lagi dibuka,” katanya, sebagai memetik laporan The Rakyat Post.
Kegagalan mempunyai sijil halal akan menyebabkan pengusaha makanan berdepan dengan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
“Apa yang menjadi kebimbangan ialah, bukan sahaja dari sudut (premis) tidak memiliki sijil halal, bahkan kita tidak mahu ada tempat (premis) yang menggantung sijil halal palsu.
“Jadi, semua pengusaha makanan diingatkan agar tidak mengelirukan orang Islam dengan menawarkan Bufet Ramadan, sedangkan mereka tidak memiliki sijil halal,” tegasnya.
Tegasnya lagi, konteks halal dalam penyediaan makan tidak sahaja tertakluk terhadap penggunaan bahan, bahkan meliputi proses pembuatan serta aspek kebersihan sepanjang proses itu. -Siakapkeli.my