Kesemua Wakil DAP Di Kelantan Letak Jawatan Berkuatkuasa Rabu Ini
DAP Kelantan memutuskan kesemua wakil mereka yang mempunyao jawatan dalam kerajaan Negeri Kelantan akan mengosongkan kerusi masing-masing berkuatkuasa rabu ini.
Perkara ini diumumkan sendiri oleh Penyelaras Perhubungan Organisasi DAP Kelantan dan Terengganu Lee Chin Chen di mana keputusan itu dibuat selaras dengan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) bahawa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat.
Memetik laporan mStar Online, perletakan jawatan ahli DAP melibatkan tiga ketua kampung yang dilantik atas kapasiti anggota DAP, iaitu di kawasan Tanjung Mas, Irene Tan; Kota Lama, David Ng Yang Seng dan Kampung Pulai, Tang Chee Hung.
"Memandangkan kerajaan negeri Kelantan yang dinaungi oleh PAS tidak lagi merupakan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat, maka tindakan untuk meletak jawatan sebagai ketua kampung telah diambil dan akan berkuatkuasa tanpa berlengah lagi.
"Tindakan ini adalah mustahak untuk mempertahankan maruah parti serta memberikan sokongan padu kepada Jawatankuasa Pusat DAP," katanya dalam kenyataan, Selasa.
Beliau pada masa yang sama mendesak supaya semua wakil PAS di dalam kerajaan Pulau Pinang supaya meletak jawatan dengan segera seiring dengan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan DAP.
Chen turtut berkata, DAP amat mengesali dengan usaha PAS yang tegas untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Hudud) di Kelantan.
"Tindakan PAS sedemikian telah ditentang oleh DAP kerana ia bercanggah dengan dasar bersama Pakatan Rakyat serta Perlembagaan Persekutuan.
"Usul hudud yang ditegaskan oleh PAS turut tidak mengambil kira pendapat masyarakat bukan Islam secara umum.
"Pindaan bagi kanun hudud tersebut tetap diluluskan oleh kerajaan negeri PAS di dewan undangan negeri Kelantan walaupun DAP telah mengemukakan tentangannya terhadap usul hudud PAS dari semasa ke semasa," katanya. - Siakapkeli.my