ALOR SETAR: Keluarga kepada salah seorang anak kapal MT Orkim Harmony bersyukur kerana keresahan mereka akhirnya hilang selepas mendapat perkhabaran kesemua mereka selamat dan berjaya dibebaskan.
Mohd Izzat Jamaluddin, abang kepada Mohd Adib Jamaluddin memberitahu sepanjang tempoh kehilangan tersebut, mereka sekeluarga tidak senang duduk dan merasa amat sukar untuk menghadapinya.
“Alhamdulillah, ia berita yang amat dinanti-nantikan oleh kami sekeluarga. Ia (berita) amat mengembirakan kami sekeluarga.
“Bagaimanapun kami (keluarga) tidak pernah berputus asa dan sentiasa berdoa agar keselamatan beliau (Mohd. Adib dan semua anak kapal) terpelihara dan doa kami terjawab hari ini. Alhamdulillah,” katanya.
Mohd Izzat berkata bapa dan ibunya, Jamaluddin Hussain dan Che Marina Desa sudah berangkat ke Kuala Lumpur dan sedang menunggu berita daripada pemilik kapal berkenaan, untuk dibawa ke Pelabuhan Kuantan bagi menyambut ketibaan anaknya.
Kapal tangki minyak MT Orkim Harmony dijangka tiba di Pelabuhan Klang kira-kira jam 2 pagi esok. -Siakapkeli.my