Bukan sahaja menerima perkhabaran bahawa suaminya maut dalam sebuah kemalangan jalan raya, malah si isteri juga terpaksa menerima satu lagi kenyataan bahawa wanita yang turut maut di dalam kejadian itu merupakan madunya sendiri.
Itulah nasib yang menimpa Farah Fadila Faizal, 27 yang juga sedang hamil empat bulan.
Dalam kemalangan yang berlaku 5 pagi itu, suaminya Abdullah Suhaime Abd Rahman, 30, isteri kedua, Rohayu Abas, 29, serta ibu Abdullah, Rokiah Abu Bakar, 52 maut selepas kereta Ford Fiesta yang dipandu Rohayu bertembung dengan sebuah lori pasir.
Farah yang mendapat berita yang menimpa suaminya itu tidak menyangka dia telah dimadukan.
Abdullah dikatakan baru sahaja menikahi Rohayu beberapa hari lalu.
“Ahad lalu, suami ada beritahu saya dia hendak pergi kursus beberapa hari.
“Saya ada mengirim pesanan ringkas melalui telefon ketika dia sedang berkursus mengadu kaki saya sakit, tapi suami tak balas.
“Saya tak tahu ibu mertua dan wanita itu bersamanya sehingga terima berita tentang kemalangan ini,” katanya. -Siakapkeli.my