KUALA LUMPUR: PKR menepis dakwaan DUN Selangor akan dibubarkan selepas DAP menganggap Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi wujud akibat pergeserannya dengan PAS.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata PKR dan DAP bersepakat untuk tidak membubarkan DUN Selangor, yang bermakna tidak ada keperluan mengadakan pilihan raya negeri meskipun gabungan pembangkang itu semakin berpecah.
"Lebih baik jika diteruskan kerjasama politik dalam bentuk kerajaan gabungan di peringkat negeri," ujar Rafizi sebagaimana memetik laporan Antarapos.
DAP pada Selasa lalu menerima usul PAS yang memutuskan hubungan dengan parti itu sebagaimana yang ditetapkan di dalam Muktamar parti Islam berkenaan pada dua minggu lalu.
Krisis PR semakin meruncing apabila DAP kemudiannya mengumumkan gabungan pembangkang itu sudah tidak lagi wujud.
Persoalan tentang status kerajaan negeri yang ditadbir gabungan itu mula mencetuskan tanda tanya, terutamanya di Selangor, sementelah PKR hanya mempunyai 14 kerusi berbanding PAS dan DAP yang sama-sama memperolehi 15 kerusi.
Situasi ini berbeza dengan kerajaan negeri Kelantan dan Pulau Pinang kerana parti tersebut mempunyai majoriti kukuh dan tidak terkesan dengan perkembangan terbaru ini. -Siakapkeli.my