Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Benarkah Wanita Zaman Kesultanan Melayu Melaka Berkemban Dan Tidak Menutup Aurat Walhal Agama Rasmi Ketika Itu Adalah Agama Islam?

2 Mac 2018
Gambar Dari Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara

Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seorang putera dari Palembang iaitu Parameswara diantara tahun 1400 hingga tahun 1403 yang dimana pada awalnya Melaka bukanlah sebuah kerajaan Islam.

Namun ianya berubah apabila Parameswara berkahwin dengan puteri dari Pasai pada tahun 1409.  Sejak daripada itu, agama islam telah dijadikan sebagai agama rasmi Kesultanan Melayu Melaka oleh Sultan Muzaffar Syah.

Jika Melaka dikatakan negeri yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi, mengapa rata-rata filem atau manuskrip lama menunjukkan bahawa wanita dizaman tersebut tidak menutup aurat?

Benarkah begitu?

Hasanuddin Yusof, seorang Penyelidik Tamadun Islam Nusantara merungkai isu ini didalam catatan penuh melalui Facebook miliknya seperti dibawah ini.

BENARKAH WANITA ZAMAN KESULTANAN MELAKA RATA-RATANYA BERKEMBAN?




Ini antara soalan yang sering juga ditanya kepada saya. Sebenarnya, pengamalan menutup aurat dengan sempurna di kalangan wanita di Alam Melayu telah bermula sejak dari era awal kewujudan kerajaan Islam di rantau ini, walaupun bukan semua wanita.

Seawal abad ke-14, Ibnu Battutah telah mencatatkan tentang pengamalan Islam berteraskan Mazhab Syafie yang kuat dalam kerajaan Samudera Pasai. Malah Sultan sendiri memiliki pakaian fuqaha.

Antara catatan Ibnu Battutah ialah jika Sultan Samudera Pasai ingin merisik seseorang gadis, baginda akan mengutuskan kaum wanita untuk melihat gadis tersebut.

Jika wanita Samudera Pasai bebas berkemban ke mana sahaja, apa gunanya Sultan mengutuskan kaum wanita tersebut untuk melakukan risikan. Jika wanita Samudera Pasai rata-ratanya membuka aurat, sudah pasti keadaan ini dicatatkan oleh Ibnu Battutah kerana suasana begitu agak asing bagi sesebuah kerajaan Islam.

Jadi, bagaimana pula keadaan para wanita dalam Kesultanan Melaka? Jika Samudera Pasai pada abad ke-14 sudah kuat mengamalkan Islam, masakan Melaka pada penghujung abad ke-15 masih jahil murakkab. Sedangkan Melaka tempat tumpuan para ulama dan pusat penyebaran Islam di rantau ini.

Suasana pengamalan Islam yang kukuh di Melaka boleh dibuktikan atau digambarkan dari peruntukan Undang-undang dalam Hukum Kanun Melaka.



Teras utama dalam Hukum Kanun Melaka adalah undang-undang Islam walaupun ada sebahagian undang-undang adat di dalamnya. Ini dapat dibuktikan dari fasal-fasal tentang hukum jenayah sama ada hudud, qisas dan ta’zir, munakahat dan muamalat.

Malah hadith Nabi SAW البينة على المدعي و اليمين على من أنكر dicatatkan dengan jelas dalam Fasal 43 Hukum Kanun Melaka yang berkaitan prosedur perbicaraan.

Dalam fasal yang berkaitan dengan saksi, Hukum Kanun Melaka mencatatkan seperti berikut :-

Fasal 42 peri menyatakan saksi. Tiada dikabulkan melainkan berhimpun pada saksi itu lima perkara. Pertama Islam dan baligh dan berbudi dan merdeka, kelima adil dan lima itu bahwa hendak menjauhi dosa yang besar dan jangan berbuat dosa kecil dan baik kelakuan…..

Dalam Hukum Kanun Melaka, ada perkara yang hanya memerlukan saksi wanita semata-mata. Sebagai contoh di dalam Fasal 26 dinyatakan:-

“Adapun harus saksi pada perempuan, dua hal juga. Hanya suatu saksi akan haid, kedua saksi akan hamil juga tiada laki-laki”. (Maknanya lelaki tidak boleh jadi saksi dalam kedua-dua perkara ini).



Ada perkara yang membolehkan bergabungnya saksi lelaki dan wanita. Seperti dalam perkara berkaitan munakahat. Dalam Fasal 42 Hukum Kanun Melaka dinyatakan “Bermula tiada thabit (saksi) melainkan dua laki-laki atau seorang laki-laki dengan dua orang perempuan”.

Maka, apakah hukum berkaitan aurat tidak diketahui atau diamalkan di Melaka sedangkan hukum syarat penerimaan saksi dan kebolehterimaan saksi wanita menurut hukum Islam jelas terkandung dalam Hukum Kanun Melaka?

Apakah berkemban dianggap tidak berdosa sehingga wanita berkemban boleh diterima menjadi saksi sebagaimana yang terkandung dalam Fasal 26 Hukum Kanun Melaka? Ini sangat tidak masuk akal.

Maka tidak hairanlah jika pelayar Itali yang bernama Ludovico Di Varthema yang datang ke Melaka sekitar tahun 1506 Masihi mencatatkan pakaian orang-orang Melayu ketika zaman Kesultanan Melaka agak menyerupai pakaian orang-orang Kaherah.

Catatan ini boleh jadi merujuk kepada kaum wanita di pasar-pasar Melaka kerana Tome Pires juga mencatatkan bahawa ramai wanita yang berdagang di pasar-pasar di Kota Melaka.

Dan pada saya, sumber Hukum Kanun Melaka dan catatan Ludovico Di Varthema lebih kukuh berbanding sumber Sulalatus Salatin. Saya juga masih belum jumpa sumber yang menyatakan wanita zaman Kesultanan Melaka rata-ratanya berkemban kecuali dari filem-filem.

Jika ada masa, saya akan tulis pula tentang amalan menutup aurat di kalangan wanita Alam Melayu setelah kejatuhan Kesultanan Melaka.

Gambar : Wanita Melayu di Melaka ketika zaman Inggeris. Adakah kesedaran berpakaian sebegini di Melaka lahir setelah kemasukan penjajah barat??



Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "