KUALA LUMPUR: Ekoran kemelut di dalam Pakatan Rakyat yang semakin hari semakin menyerlah, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan membuat keputusan untuk menjadi sebuah parti politik atau tidak pada minggu depan.
Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, pertimbangan berkenaan juga mengambil kira Muktamar PAS Kali ke-61 yang baru berakhir Sabtu lepas.
“Ini keputusan besar yang perlu kita buat kita akan ada perbincangan meja bulat 13 Jun 2 petang. Semua pimpinan jawatankuasa pusat dan negeri akan menghadirinya.
“Memang ada cadangan jadi parti politik. Tapi ini bergantung kepada perbincangan,” katanya dipetik Malaysiakini.
Muktamar PAS yang berlangsung selama tiga hari menerima usul memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas, sekaligus satu tindakan yang akan memporak-perandakan lagi kerjasama dan hubungan di dalam Pakatan Rakyat (PR).
Usul berkenaan pada mulanya disuarakan oleh Dewan Ulama PAS Pusat kerana berang dengan tindakan melampau DAP menghina Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dasar-dasar perjuangan PAS. -Siakapkeli.my