Siapa sangka di sepanjang deretan rumah teres satu tingkat yang dibina sekitar tahun 80-an terselit sebuah rumah yang mempunyai reka bentuk unik, moden dan berlainan.
Terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur, 23 Terrace di Taman Tun Dr. Ismail pastinya menarik perhatian ramai orang.
Hasil kerja kreatif sebuah syarikat arkitek kepunyaan Ar. Dr. Tan Loke Mun ini mungkin dapat memberikan inspirasi baru buat anda yang masih tercari-cari konsep rekabentuk rumah.
Bahagian depan 23 Terrace mempunyai bukaan yang lain dan berdindingkan kaca balustrade dan pintu kayu. Turut dipasang adalah pintu jeriji keselamatan minimalis beserta dengan pintu pagar. Pemandangan rumah ketika senja juga berubah apabila wujud bayang-bayang realistik di anjung simen rumah berkenaan.
Untuk bahagian dalam rumah pula, semua dinding tengah yang asal diruntuhkan supaya kelihatan lebih lapang.
Untuk tangga, arkitek menyelitkan kelainan dengan membinanya dengan dua arah yang berbeza, seolah-olah tergantung dengan batang-batang besi tangga itu memegang struktur binaanya. Nampak unik apabila dinding sebelah tangga dibiarkan warna asal batu-bata.
Dengan reka bentuk lebih moden, dapur dibentuk dengan menjadikannya seperti mini bar dan menjadi pemisah antara dapur dan ruang makan. Manakala pemisah bagi dapur kering dan basah diletakkan dua buah peti sejuk di ruangan yang kosong itu.
Bagi bahagian atas rumah ditempatkan bilik tidur utama, lengkap dengan katil queen size dan lebih indah dengan dinding kaca lutsinar beserta balkoni. -Siakapkeli.my