KULIM: Mayat seorang lelaki dijumpai berdekatan kawasan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Ah Chong, Merbau Pulas dengan keadaan separuh badannya rentung.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, penemuan mayat dalam keadaan terikat dengan kesan tetakan di sebelah kanan kepala disedari oleh dua pekerja TNB.
“Mayat mangsa yang mempunyai tatu di bahagian lengan kiri dan kanannya itu dipercayai dibunuh sebelum dibakar bersama bungkusan kain terpakai.
"Identiti mayat juga belum dapat dikenal pasti berikutan tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri di lokasi berkenaan," katanya memetik laporan Sinar Harian Online, hari ini.
Pihak polis percaya mangsa dibunuh terlebih dahulu dalam tempoh kurang 24 jam sebelum dibawa ke kawasan itu untuk dibakar.
"Pihak polis akan terus jalankan siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Menurut seorang saksi, Azmi Zakaria, 44, beliau menyedari timbunan kain dibakar di kawasan pencawang TNB itu namun tidak mengesyaki kejadian luar biasa terjadi, sebelum dihubungi seorang rakannya yang memaklumkan ada mayat rentung di situ. -Siakapkeli.my