PETALING JAYA: Hasrat PAS Kelantan untuk melaksanakan hukuman hudud di negeri itu nampak semakin sukar apabila PKR dan DAP berterusan enggan menyokong.
Menurut Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, realiti yang perlu ditempuh parti Islam itu adalah untuk mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat.
“Saya fikir kita sudah keluarkan kenyataan sebelum ini, kalau mereka (PAS Kelantan) bawa pun ke parlimen, itu adalah jalan yang sukar untuk mendapatkan status quo," katanya di sidang media PKR, hari ini.
PAS sekali lagi menghantar notis usul pembentangan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) ke Dewan Rakyat yang akan memulakan persidangannya pada Isnin depan.
Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengharapkan undang-undang itu dibahaskan di kalangan wakil rakyat kelak memandangkan ia ditangguhkan pada sidang Parlimen yang lalu.
Umum mengetahui bagaimana penentangan PKR dan DAP terhadap pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan meskipun negeri itu ditadbir sepenuhnya oleh PAS.
Dua parti itu memberi hujah bahawa sebarang keputusan terhadap undang-undang Islam itu mesti disepakati bersama ketiga-tiga parti berasaskan konsensus Pakatan Rakyat (PR).
Terbaharu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bertegas bahawa sokongan dan undi wakil rakyat di Parlimen kelak bukan satu isu utama, sebaliknya memastikan rang undang-undang persendirian tersebut dibentangkan terlebih dahulu.
Namun beliau dalam masa yang sama mahukan kesemua ahli-ahli parlimen beragama Islam menyokong usul hudud itu atas tanggungjawab sebagai seorang Islam. — Siakapkeli.my