Mayat Wanita Ditemui Dalam Belukar di Cyberjaya
CYBERJAYA, 6 Mei - Mayat seorang wanita ditemui dalam belukar di bawah jambatan di susur keluar Pulau Meranti hari ini.
Wanita berkenaan, Rosshida Abdullah, 30, ditemui dalam keadaan tertiarap oleh orang awam yang sedang memikat burung di kawasan tersebut kira-kira jam 4.30 petang tadi.
Selain dari itu, sebuah beg tangan turut ditemui bersama sekeping nota. Menurut laporan, nota tersebut mengandungi luahan hati mangsa mengenai pelbagai masalah termasuk diburu Ah Long.
Memetik laporan dari Kosmo!, siasatan awal mendapati mangsa mati selepas terjatuh dari jejantas terbabit.
Ibu kepada wanita berkenaan, Salamiah Hamid, 61, yang terkejut dengan berita itu berkata Rosshida memaklumkan kepadanya untuk menunggu kepulangannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada Isnin lepas.
"Arwah minta saya tunggu pada jam 10 malam kerana pesawatnya akan tiba pada jam itu dari Kuala Lumpur.
"Saya ke lapangan terbang dengan menaiki kereta sewa dari rumah, tetapi dia tidak juga kelihatan. Saya tunggu sampai jam 1 pagi sebelum nekad pulang selepas panggilan telefon tidak berjawab," katanya memetik laporan dari Harian Metro.
Katanya lagi, Rosshida dijangka bakal bernikah dengan tunangnya pada Aidilfitri ke tiga.
"Malangnya, tiada majlis yang akan berlangsung. Saya reda dengan apa yang berlaku,", tambahnya. - Siakapkeli.my