
KUALA LUMPUR: PT Kumpulan Mulia, sebuah syarikat pemaju dari Indonesia mengumumkan membeli tapak di Tun Razak Exchange (TRX) bagi projek pembinaan Signature Tower dengan harga RM665 juta.
Sebelum ini tapak berkenaan dijual oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Tabung Haji dengan harga RM578 juta, namun dibatalkan selepas dikritik dan dikecam pelbagai pihak dengan dakwaan cuba menampung kerugian yang dialami oleh dana pelaburan strategik negara itu.
"Sebagai salah sebuah pemaju hartanag komersil yang paling besar di Indonesia, kami teruja menceburi projek ini bagi membangunkan Signature Tower sebagai mercu tanda baharu bandar raya Kuala Lumpur.
"Mulia Group ingin menjadi sebahagian pembangunan ikonik yang canggih ini bukan sahaja untuk Malaysia tetapi di dalam dan luar rantau ini," kata Pemilik Kumpulan Mulia, Eka Tjandranegara.
Eka, yang juga Presiden dan Pengarah syarikat pemaju itu turut menyatakan keyakinannya bahawa TRX mampu berkembang sebagai sebuah pusat kewangan yang berpotensi tinggi, yang dalam masa sama dapat memberi manfaat kepada Kumpulan Mulia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Real Estate, Datuk Azmar Talib menyambut baik minat Kumpulan Mulia dalam TRX.
"Pelaburan penting ini membuktikan keyakinan pelabur asing kepada Malaysia," katanya.
Selain Kumpulan Mulia, sebuah lagi syarikat pemaju antarabangsa iaitu Lend Lease turut dikatakan bakal bekerjasama dengan 1MDB bagu membangunkan projek Lifestyle Quarter di tapak seluas 17 ekar di Jalan Tun Razak dengn nilai RM8 bilion. — Siakapkeli.my