Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

''Betul Ke Awak Mencuri'', Dia Angguk Dan Menangis, Berbanding Beri Hukuman, Cikgu Ini Pilih Ceritakan Kisah Tauladan Sebagai Nasihat

2 Apr 2018

Bagi mereka yang berkhidmat sebagai guru, tentu sudah biasa menghadapi pelbagai karenah anak murid. Terutama buat guru-guru yang mengajar di sekolah rendah, sudah tentu menghadapi pelbagai cabaran untuk mendidik dan membentuk kanak-kanak yang masih mentah dalam membuat keputusan hidup.

Untuk membentuk sahsiah kanak-kanak di peringkat awal, ia memerlukan kaedah yang betul. Contohnya jika mereka melakukan kesalahan, tidak semestinya sebagai guru mahu pun ibu bapa, kita menjadikan kaedah hukuman sebagai pilihan tunggal untuk mendidik mereka.

Barangkali, pendekatan penuh emosi dengan memberi nasihat terlebih dahulu ataupun menceritakan kepada mereka kisah-kisah tauladan adalah cara yang lebih baik dan memberi kesan berbanding menggunakan pendekatan keras.

Dan kami merasakan pendekatan yang diambil oleh seorang cikgu bernama, Mohd Fadli Salleh ini adalah cara yang terbaik untuk mendidik kanak-kanak.

Seperti yang disampaikan olehnya sendiri, dia memilih pendekatan yang berbeza berbanding hukuman untuk mendidik anak muridnya yang ditangkap mencuri pensel warna.

Jom ikuti kisahnya di bawah.

Dua orang pengawas datang serah murid perempuan tahun dua ini kat aku semalam.

"Cikgu. Dia mencuri di kedai buku," kata pengawas.

Setelah minta pengawas beredar, dengan lembut dan perlahan aku bertanya,

"Betul ke awak mencuri? Awak curi apa?" 

Geleng kepala. Muka tunduk pandang lantai sahaja. Tidak berani pandang muka aku. Padahal aku bertanya dengan nada yang cukup lembut.

"Pandang muka cikgu. Cikgu tak suka orang berbohong dan cakap tipu dengan cikgu," kata aku perlahan, tapi tegas.

Dia angkat kepala. Kolam mata dah bergenang. Sekali lagi aku tanya,

"Betul ke pengawas kata awak curi barang di kedai buku? Awak ambil apa?" 

"Betul cikgu. Saya ambil warna."

Kali ini air mata tidak lagi mampu ditahan-tahan. Merembes keluar tanpa mampu ditahan lagi. Agaknya kerana rasa bersalah melanda diri.

Setelah disoal, dia mengaku ambil pensel warna. Kerana pensel warna dia dah banyak yang hilang.

Tapi malangnya, pensel warna yang dia curi itu terjatuh dalam longkang waktu dikejar pengawas.

Aku ada bertanya tentang latar belakang keluarga juga. Ayah ibunya masih ada. Kiranya bukan anak yatim. Dia juga punya kereta, kiranya bukanlah kategori miskin tegar.

Semua cerita diselangi dengan esakan dan titisan air mata. Padahal tidak sedikit pun aku tinggikan suara. Tidak ugut dengan rotan, malah tak pegang rotan pun. Tiada ugutan atau ancaman, betul-betul aku soal dengan nada perlahan dan lembut sahaja.

Aku nasihatinya jangan mencuri lagi dan terangkan bahawa perbuatan mencuri itu salah. Tidak boleh mencuri meskipun duit langsung tak ada. Beberapa kisah aku selit dan ceritakan.

Dia mendengar penuh khusyuk dan mengangguk tanda faham.

Akhirnya aku berkata,

"Awak nak pensel warna tak? Cikgu hadiahkan untuk awak. Cikgu ada banyak pensel warna. Lap air mata tu dulu." 

Air mata terus dilap. Kepala dianggukkan tanda setuju. Aku keluarkan sekotak pensel warna LUNA yang memang ada dalam simpanan aku. Aku hulur padanya dengan senyuman.

Mata yang berkaca kesedihan bertukar memberi satu sinaran kegembiraan. Senyuman dari mulutnya bagai menang loteri sejuta.

Seorang murid yang ketakutan dan kesedihan bila ditangkap mencuri kini menjadi murid yang gembira dan ceria terima sebekas pensel warna.

Kadang-kadang, bukan semua kesalahan perlu kita balas dengan hukuman.

Kadang-kadang, memaafkan itu lebih diingati.

Kadang-kadang, sebuah hadiah itu mampu merubah sikap berbanding hayunan rotan dan makian kejam.

Kadang-kadang, apa yang kita buat hari ini membentuk jati diri seseorang 20 tahun nanti.

Mungkin murid ini suatu hati nanti membuka kedai runcit pula. Dan mungkin masa itu ada pelajar kecil yang begitu inginkan sesuatu benda seperti pensel warna sehingga sanggup mencuri.

Dan jika murid ini menangkap pula pencuri itu nanti, aku cuma berharap dia ingat kejadian hari ini.

Kejadian kesalahan dia dimaafkan, kejadian dia dihadiahkan pula barang yang dia inginkan.

Nasihat dan pesanan telah diselit. Semoga menjadi panduan disepanjang hidupnya.

Sumber : Mohd Fadli Salleh

Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. agen365 menyediakan game : sbobet, ibcbet, casino, togel dll
    ayo segera bergabung bersama kami di agen365*com
    pin bbm :2B389877

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "