Berniat untuk berkongsi kebolehan mengendalikan jentera berat di sawah padi gadis ini telah mendapat kritikan apabila tular di laman sosial.
Pembantu Tadbir Komunikasi Nurul Syifa Mat Dzahid, 22, berkata video yang dimuat naik itu hanyalah satu sesi latihan yang biasanya akan dilakukan oleh kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) apabila membuat lawatan tapak.
Siapa yang sangka, netizen tidak memberi perhatian kepada bakatnya tapi lebih tertumpu pada warna kasutnya yang putih tanpa secalit lumpur walaupun berada di kawasan lumpur.
Menurut Nurul Syifa, dia tidak menyangka video berkenaan akan mengundang rasa tidak puas hati netizen apabila ada pihak yang berkongsi video tersebut di laman sosial mereka.
"Kasut saya bukannya tidak kotor, masa rakaman tu dibuat, saya naik dari tebing. Sebab itu nampak bersih.
"Tapi kemudian barulah kotor ketika saya hendak turun dari jentera tersebut. Tidak terfikir pula orang akan kecam pasal kasut," ujarnya sambil berseloroh.
Dia juga turut menyatakan rasa terkilan apabila ada pihak yang menyifatkan gadis cantik gemar melakukan perkara 'bodoh' semata-mata ingin tular di media sosial.
Nurul Syifa juga turut mengakui kesilapannya bila ditanya mengenai pakaian yang dianggap tidak sesuai.
"Lumrah golongan wanita suka bersiap-siap ketika ingin keluar rumah atau bekerja, katanya.
“Saya bukan acah-acah lawa seperti yang didakwa netizen. Bila difikirkan balik, memandu jentera berat bukanlah sesuatu yang bodoh atau boleh mengaibkan saya.
"Sewaktu mengetahui mengenai video tersebut tular, saya terus bertanya kepada majikan sama ada apa yang saya lakukan telah menjejaskan nama Mada, tetapi majikan kata tiada apa yang perlu dibimbangkan," tambahnya.
Nurul Syifa juga menolak dakwaan netizen bahawa perbuatan tersebut hanyalah ingin meraih pengikut di Instagram untuk membuat ulasan produk bagi menambah pendapatan sampingan.
Dia juga yang mempunyai lebih 76,600 pengikut di Instagram itu, dia memang membuat ulasan produk sebelum ini dan menganggap ia satu bentuk rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya.
Buat masa ini, video tersebut sudah mencecah 336,000 tontonan, selain mendapat 1,640 perkongsian dan 12,000 likes.
Sumber - Mstar