Ramai antara kita dilihat mementingkan pengambilan makanan sihat, namun kita sering dimomokkan dengan mengambil pelbagai produk dan suplement tambahan sebagai salah satu cara mengamalkan diet pemakanan.
Pemakanan sihat amat penting pada masa kini. Kita sering kali disogokkan dengan bahan-bahan organik, bijian seperti chia dan flaxseed, makanan berprotein tinggi, beras perang serta sebagainya adalah makanan yang sihat.
Makanan segera dan makanan junk food sudah semestinya tidak sihat dan mempunyai pewarna tiruan. Namun tahukah anda, terdapat makanan sihat yang mungkin mampu memudaratkan tubuh badan kita jika salah membuat pilihan?
1. Ikan Salmon
Seperti yang kita tahu ikan salmon merupakan salah satu ikan yang paling sihat untuk dimakan kerana ia rendah lemak, mengandungi pelbagai vitamin dan omega-3 yang tinggi. Tapi tahukah anda, kebanyakan ikan salmon yang diternak secara komersial telah ditambah bahan pewarna agar kelihatan lebih menarik?
Penternak ikan salmon diberikan carta warna Canthaxanthin (E161g) yang dipanggil Salmofan yang mampu menawarkan sehingga 30 variasi merah jambu/oren. Di negara seperti Australia dan New Zealand telah mengharamkan penjualan ikan salmon ternak yang diberi makan dengan warna ini.
Tetapi jika anda mahu selamat, pastikan anda membeli ikan salmon liar yang diimport dari Alaska. Sebagai tips, elakkan ikan salmon yang mempunyai label “Atlantic” kerana ia menandakan ikan itu diternak secara komersial.
2. Telur
Pasti anda terkejut bukan, sebenarnya industri penternakan ayam mungkin menggunakan pelet makanan yang telah ditambah dengan pewarna untuk memberi warna kuning terang pada telur.
Ayam akan menghasilkan warna kuning telur mengikut diet harian. Sekiranya penternak ayam menginginkan warna kuning yang lebih terang, mereka akan mencampurkan pewarna sintetik ke dalam makanan ayam. Pewarna ini kebiasaannya dikilangkan di China dan tidak diselia oleh badan pemakanan.
Untuk tips, jika anda dapati kesemua telur yang anda beli mempunyai warna kuning telur yang terang dan sekata, besar kemungkinan ayam itu diberi makan pewarna sintetik. Jika setiap telur berbeza-beza, ia menandakan ayam-ayam itu adalah jenis lepas bebas (free range).
3. Yogurt
Walaupun kebanyakan pengeluar yogurt sihat bergantung kepada jus buah dan sayuran sebenar untuk mewarnakan yogurt berperisa, ada juga sesetengah jenama yang mengambil jalan pintas untuk mengurangkan kos dengan menggunakan bahan kimia.
4. Sos Salad
Salad sememangnya bagus untuk membantu menambah menu seimbang dalam diet seharian. Jika anda penggemar salad, anda semestinya mempunyai dressing atau kuah salad kegemaran tersendiri bukan. Tapi tahukah anda, bukan semua kuah salad itu diperbuat daripada bahan organik?
Banyak jenama menggunakan pewarna sintetik dalam kuah salad yang dihasilkan, walaupun kuah itu sepatutnya berwarna putih seperti Caesar dan Ranch. Sebagai contoh, Vinaigrette (terutama sekali dengan perisa buah beri) dan Thousand Island adalah antara sos salad yang mengandungi pewarna tiruan.
Elakkan membeli sos salad segera yang dijual di pasar raya. Sebaliknya, buatlah sendiri menggunakan bahan-bahan asli dan organik yang ada di rumah. Tak susah pun, cuma main kisar-kisar sahaja.
5. Buah oren
Pada awal musim buah, kebanyakan oren yang dihasilkan mempunyai warna kulit pucat yang tidak begitu menarik minat pembeli. Jadi, ada sesetengah pengeluar dari Florida, misalnya, menyembur warna Merah Sitrus No. 2 pada permukaan kulit buah agar kelihatan lebih terang.
Warna tiruan ini bertoksik kepada tikus pada tahap sederhana dan boleh menyebabkan tumor pada pundi kencing. Penggunaannya telah diharamkan bagi penanaman buah oren di California.
Hati-hati jika anda ingin memarut kulit oren atau menggunakan kulitnya dalam masakan! Pastikan anda membeli yang organik.
6. Oatmeal
Ini merupakan salah satu 'superfood' yang sering disebut-sebut oleh penggemar makanan sihat. Dalam bentuk asal, oatmeal sememangnya berkhasiat dan menyihatkan. Tetapi apabila pengeluar produk mula menjadi lebih 'kreatif' dengan menambah perasa, ia sebenarnya boleh mengundang padah.
Beberapa jenama oatmeal terkemuka menggunakan pewarna karamel yang mungkin membawa unsur karsinogenik dalam produk-produk oatmeal berperisa keluarannya.
Untuk lebih selamat, elakkan membeli oatmeal berperisa. Seelok-eloknya tambahlah sendiri potongan buah segar, madu asli atau serbuk kayu manis mengikut cita rasa anda.
7. Daging
Terdapat penjual dan penternak daging yang menggunakan sulfur dioksida untuk mengekalkan kesegaran dan warna merah pada daging. Pada tahun 2015, ramai penjual daging sekitar Sydney, Australia didenda sehingga AUD15,000 (RM48,300) kerana menggunakan bahan kimia itu untuk daging mentah.
Ada juga daging yang dirawat menggunakan karbon monoksida. Seperti yang kita sedia maklum, karbon monoksida merupakan sejenis gas beracun yang boleh membawa maut jika diambil atau dihidu dengan banyak.
Walaupun bukan semua produk yang dijual di pasaran mengandungi bahan-bahan terlarang ini, anda sebagai pengguna haruslah lebih bijak dalam memilih makanan. Ketahui bagaimana setiap produk dihasilkan dan datang dari sumber mana.
Kewujudan permintaan tinggi bagi makanan-makanan sihat telah menyebabkan segelintir pengeluar makanan yang tidak bertanggungjawab menambah bahan-bahan berbahaya untuk membuatkan produk mereka kelihatan lebih menarik dan meningkatkan jualan tanpa mempedulikan kesihatan pengguna.
Sebagai pengguna bijak, anda perlu lebih berhati-hati dan sentiasa memeriksa label bahan dalam sesuatu produk.
Sumber
1. Daily Mail UK
2. Dr. Axe
3. Prevention
4. Dr. Mercola
5. Medical News Today
6. Fox News
F*a*n*s*B*E*T*I*N*G Aman dan terpercaya
BalasPadamInfo lebih lanjut : 5ee80afe :)