GERIK - 36 penumpang sebuah bas ekspres terselamat apabila kenderaan itu secara tiba-tiba terbakar ketika semua mereka berhenti untuk makan di sebuah restoran berhampiran lampu isyarat di jalan Gerik-Kupang hari ini.
Menurut Sinar Online, kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu disedari oleh pemandu bas yang berusia 51 tahun apabila terlihat asap dari bahagian tayar hadapan sebelum api menyambar kenderaan tersebut.
Beberapa video yang dimuat naik oleh saksi kejadian menunjukkan keadaan bas itu yang sedang marak terbakar.
Satu lagi video memaparkan bagaimana keseluruhan bas terbabit dijilat api disamping diselubungi dengan asap hitam tebal.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Zainal Abidin Abd Ghani berkata cubaan memadam kebakaran yang dibuat oleh pemandu menggunakan alat pemadam api tidak berhasil kerana api merebak dengan cepat.
“Kita menerima panggilan pada jam 2.09 petang, sebaik tiba di lokasi, api mula merebak ke bahagian tengah, keadaan struktur bas serta bahan mudah terbakar yang terdapat dalam kenderaan itu menjadikan api mudah merebak.
“Bagaimanapun dengan kekuatan tujuh anggota, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira 30 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kecederaan yang dilaporkan.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan berlaku, hanya barang peribadi seperti beg milik penumpang tidak berjaya diselamatkan,” katanya.
Sumber: Sinar Online