Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Bolehkah Hanya Guna Ubat Titis Mata Sahaja Untuk Hilangkan Selaput Mata, Elak Dari Melakukan Pembedahan? Doktor Pakar Mata Ini Beri Jawapan

20 Mei 2017
No Comment

Soal mata bukanlah satu perkara yang boleh dibiarkan sahaja, ianya merupakan salah satu deria, juga anugerah yang perlu dijaga sebaik mungkin, bukan sahaja daris egi kesihatannya, tapi pandangannya juga.

Mungkin ada di antara kita yang mempunyai ahli keluarga, atau kawan, yang mana jika dilihat pada keadaan mata mereka, sudah mula terlihat akan pembentukan selaput.

Bagi kita, ia mungkin sedikit sebanyak mengganggu penglihatan, dan cuba menasihati mereka untuk buat pembedahan, supaya membuangnya. Tapi, tahukah anda, tidak semua selaput tersebut, perlu dibedah secepat mungkin.

Menerusi perkongsian dari seorang doktor, yang juga seorang pensyarah, dan pakar mata, iaitu Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah, anda seharusnya tahu akan keadaan selaput terlebih dahulu, sebelum buat keputusan untuk lakukan pembedahan.

Mari kita ikuti pekongsian darinya.

Foto: Melbourne Eye Centre

Mata saya ada selaput, bolehkah saya letakkan ubat untuk elakkan pembedahan?

Ini antara soalan yang sering diajukan kepada saya.

Hakikatnya seorang pakar bukanlah seorang yang hebat, pada saya. Kerana apa maksud “selaput” pun saya tidak dapat tafsirkan jika soalan yang diajukan hanya seperti yang di atas.

Hakikatnya doktor bukanlah ahli nujum atau bomoh.

Sebagai seorang doktor mata, saya perlu maklumat lanjut tentang keadaan pesakit.

* Di manakah lokasi selaput itu?

* Sudah berapa lamakah selaput itu berada di dalam mata?

* Adakah kedua-dua mata mempunyai selaput yang sama?

* Adakah selaput itu mengganggu penglihatan?

Jika kepakaran seseorang menjadikan ia angkuh dan sombong, pastinya ia bukan rahmat tetapi musibah baginya. Ilmu yang mendekatkan diri seseorang itu kepada Allah, dan menjadikan ia lebih sedar diri akan kelemahannya, pastinya lebih baik bagi seseorang itu.

Seorang pakar akan menjadi semakin mahir dalam bidangnya, tetapi ia juga seorang manusia yang tidak boleh berdiri sendiri tanpa sistem sokongan daripada masyarakat sekelilingnya

Seorang pakar masih perlukan BANTUAN dari pesakit untuk merawat penyakit, apatah lagi BANTUAN dari Allah. Semoga kepakaran saya hanya menjadikan saya lebih dekat dengan Allah dan semakin jauh dari kesombongan.

Apakah SELAPUT DI LUAR MATA itu?

"Selaput mata" yang biasa disebut oleh masyarakat umum, terbahagi kepada dua, pterygium dan katarak.

Foto: navicenthealth

a. Pterygium

Jika selaput itu berada di luar mata, menempel di atas mata putih dan perlahan-lahan tahun demi tahun menginjak ke mata hitam (atau kornea), kelihatan seperti lebihan daging merah jambu, maka ia adalah PTERYGIUM (di sebut te-ri-ji-um, tanpa huruf P). 

Ada beberapa jenis ketumbuhan bukan kanser yang lain tetapi untuk tujuan memudahkan, kita ambil keadaan yang paling biasa iaitu pterygium ini.

b. Punca Pterygiun

Pterygium adalah "lapisan fibrovascular", gabungan salur darah dan tisu parut yang berlebihan, tumbuh akibat terdedah kepada cahaya ultra ungu dan debu. 

Maka, pterygium lebih kerap berlaku di kalangan mereka yang berkerja di bawah terik matahari, seperti nelayan, pekerja binaan dan peladang, terutamanya yang berada di kawasan tropika seperti negara kita ini

Kebiasaannya pterygium tumbuh dengan amat perlahan, dan hanya mengakibatkan gangguan pada penglihatan apabila ia sudah sampai ke mata hitam . Selain itu, jika pterygium masih kecil, ia boleh menyebabkan ketidak selesaan akibat air mata kurang (dry eyes).

Foto: mercola

c. Jadi bagaimana cara merawat pterygium ini?

Jika saiznya kecil dan tidak mengganggu penglihatan, saya nasihatkan elakkan sinar UV yang berlebihan (gunakan pelindung UV pada cermin mata contohnya), dan gunakan titisan mata pelembab jika mata kering

Jika saiznya semakin besar hingga sampai ke TENGAH anak mata hitam, maka pembedahan kecil untuk membuangnya boleh dilakukan.

Semasa pembedahan, selaput pterygium akan dibuang dan kawasan di mata putih di bawahnya akan ditampal dengan lapisan konjunktiva dari kawasan sekitar, dan ini dipanggil graf konjunktiva (conjunctival autograft) . Graf ini adalah untuk mengelakkan pterygium berulang lagi.

Pembedahan ini hanya mengambil masa dalam 30 minit, dan dilakukan dengan bius setempat.

Selepas pembedahan, pesakit akan diberi ubat titis mata antibiotik dan steroid selama 2 minggu.

Foto: saludmovil

d. Adakah selaput pterygium ini boleh berulang?

Bagi pesakit yang berusia lebih 50 tahun, kebiasaanya ia tidak akan berulang. 

Namun bagi pesakit yang muda, oleh kerana tubuh badannya sangat aktif dalam memulihkan luka, tisu fibrovaskular itu boleh tumbuh semula.

Pengalaman saya, seorang pesakit berusia 20 tahun yang mempunyai pterygium di kedua-dua belah mata, beriya-iya mahu menjalani pembedahan 2 minggu sebelum raya kerana mahu berhari raya dengan mata yang tidak merah (dan nampak tidak kacak).

Walaupun saya sudah menasihatkan agar tidak perlu menjalani pembedahan kerana ia tidak mengganggu penglihatan, beliau tetap berkeras.

Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar. Namun seminggu selepas raya, saya bertemu beliau di klinik, pterygiumnya sudah tumbuh kembali sepenuhnya.

Kesimpulannya, tiada ubat titis yang boleh "merawat" pterygium sepenuhnya, dan rawatan untuk menghilangkannya adalah dengan pembedahan (jika benar-benar perlu)

Jika ada persoalan lanjut, rujuklah doktor anda dan dapatkan temujanji dengan pakar mata yang berdekatan. Kami sedia membantu, in shaa Allah

Dr Azlindarita Aisyah Mohd Abdullah
Pensyarah Perubatan dan Pakar Mata UiTM
Medical Mythbuster Malaysia

Rujukan :
Pterygium , Matthew Caldwell, Lawrie Hirst and Maria A. Woodward, MD, American Academy of Ophthalmology, laman web.

Conjunctival autograft for pterygium, Elizabeth Clearfield, Valliammai Muthappan, Xue Wang, and Irene C Kuo, Cochrane Database Syst Rev. 2016; 2: CD011349.

- Siakap Keli

BACA: Bila Ayah Atau Emak Mula Adu Sakit Mata, Anak Kena Peka, Tahu Apa Puncanya & Dapatkan Rawatan Dengan Segera
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "