Primeworks Studios Gantung Pengacara & Krew Rancangan 'Sukan Tak Sentral'
Petaling Jaya, 24 April - Primeworks Studios Sdn Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengambil tindakan menggantung perkhidmatan pengacara rancangan 'Sukan Tak Sentral', Azizul Ammar Abu Hassan dan krew produksi ekoran insiden mempersendakan nama ayah Watson Nyambek.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan tempoh penggantungan terbabit.
"Primeworks Studios Sdn Bhd (“Primeworks Studios”) mengumumkan tindakan menggantung (tanpa tempoh) perkhidmatan pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan dan krew produksi ekoran insiden mempersendakan nama ayah dan keluarga Watson Nyambek melalui rancangan tersebut," tulis kenyataan terbabit.
Sepanjang tempoh penggantungan ini, Ammar juga tidak akan dipanggil untuk mana-mana rancangan terbitan Primeworks Studios.
Delegasi pengurusan Primeworks Studios dan stesen TV3/TV9 telah mengadakan pertemuan bersama Watson Nyambek di Miri, Sarawak pada 24 April 2017. Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar bertujuan untuk menzahirkan rasa kesal Primeworks Studios dan memohon maaf kepada keluarga Watson di atas kejadian tersebut.
Turut hadir, pengacara Azizul Ammar dan penerbit rancangan Abdul Ghani Mohd Mokhtar.
Menurut Datuk Ahmad Izham: “Perbuatan mempersendakan nama baik ayah dan keluarga Watson Nyambek adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku. Kami akui, perbuatan tersebut telah menyinggung perasaan Watson dan juga masyarakat Malaysia secara amnya. Setelah membuat penelitian terhadap kes ini, kita telah mengambil langkah untuk menggantung perkhidmatan Ammar dan krew produksi dari segala rancangan terbitan Primeworks Studios,”.
Mengulas mengenai tindakan Watson dalam membuat laporan polis berkaitan rancangan tersebut, Datuk Ahmad Izham berkata Primeworks Studios bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa.
“Sebagai syarikat penerbit rancangan tersebut, Primeworks Studios tidak akan lari dari tanggungjawab dan kami komited untuk menyelesaikan isu ini dengan cara yang terbaik bagi Watson dan keluarganya,” tambah beliau.
Sumber: TV3 Malaysia