Kain Rentang Salah Eja 'Pertabalan' Jadi 'Perbatalan' Diturunkan & Diganti Baru
Ipoh - Kain rentang ucapan sembah taniah sempena Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, yang mengandungi kesalahan ejaan sudah diturunkan dan diganti baru.
Menurut BH Online, perkataan 'pertabalan' disalah eja kepada 'perbatalan' di dalam kain rentang terbabit.
Sebelum ini, gambar kain rentang itu menjadi viral di media sosial seterusnya dikecam oleh netizen yang menganggap kesilapan seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.
Menurut Ketua MCA bahagian Taiping, Ang Sui Eng, kain rentang itu sudah dipasang di bangunan MCA Taiping sejak minggu lalu namun kesilapan ejaan hanya disedari hari ini.
"Pihak kami menyedari perkara itu pagi tadi kira-kira jam 9 pagi dan menurunkan kain rentang berkenaan. Kesilapan diperbetulkan segera dan kain rentang baharu dipasang pada jam 10 pagi.
"Kami meminta maaf atas kesilapan itu kerana tidak menyedari dan terlepas pandang perkataan pertabalan yang tersilap eja.
"Kami tetap menyatakan kesetiaan kami kepada Seri Paduka Baginda dan negara," katanya sebagaimana lapor BH Online.
Sumber: BH Online