Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

“Kau Penulis Buku Ni Kan, Bagilah Satu, Mesti Banyak Ko Dapat”, Pertanyaan Ini Sering Ditanya Kepada Penulis & Ianya Adalah Satu Salah Faham, Ini Sebabnya

19 Apr 2017
No Comment

Menjadi penulis bukanlah satu tugas yang mudah, ianya memerlukan seseorang itu untuk bijak menyusun ayat, penggunaan perkataan, juga gaya bahasa yang dapat menarik minat pembaca.

Bukan itu sahaja, tanggapan orang ramai terhadap penulis juga tidak kurang memberi beberapa pemikiran terhadap masyarakat, yang mana tidak semua yang mereka fikirkan itu berlaku kepada penulis.

Menerusi perkongsian dari saudara Sofuan Saadon, yang juga seorang penulis, terdapat beberapa salah faham terhadap penulis, yang mana penulis perlu berhadapan dengan situasi tersebut apabila berhadapan dengan orang ramai.

Mari kita ikuti perkongsian darinya, untuk ketahui apa yang kita sebagai pembaca memberi tanggapan yang salah terhadap penulis.


SALAH FAHAM TERHADAP PENULIS

Pesta Buku Selangor baru saja melabuhkan tirainya hari ini. Pesta Buku Kelantan pula baru bermula. Begitu juga dengan jualan buku dalam skala yang kecil di seluruh negara. Namun begitu, saya yakin bahawa pencinta buku lebih teruja menantikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang akan kembali ke PWTC pada 28 April 2017 hingga 7 Mei 2017. Apabila ada pesta buku, tentulah adanya buku untuk didagangkan.

Buku pula tidak lahir sendiri tetapi hasil tulisan/nukilan para penulis. Oleh itu, dalam ruangan ini saya ingin kongsikan satu artikel tentang penulis yang diberi tajuk, ‘Salah Faham terhadap Penulis.’ Saya tiada niat lain. Saya cuma mahu membetulkan beberapa tanggapan dan andaian yang kurang tepat terhadap golongan penulis seperti kami.

1. Penulis dapat Semua Hasil Jualan Buku

"Tulis berbulan-bulan dan hang dapat RM2 saja untuk sebuah buku? Biar betul!”

Dialog di atas merupakan ayat yang keluar daripada mulut seorang rakan apabila mendapat tahu itu jumlah royalti yang saya terima untuk setiap buku terjual. Buku yang terjual, bukan ikut buku yang dicetak. Bukan saja dia yang terkejut, saya pun terkejut. Yela, saya tak sangka yang dia boleh fikir saya terima 100% untuk setiap buku yang terjual itu.

Jika dia boleh fikir begitu, itu bermakna ada orang lain juga yang fikir perkara yang sama. Ini adalah sebab utama artikel ini dihasilkan. Sebenarnya tidak. Kebanyakan penulis terbitkan buku dengan penerbit. Harga buku memang RM20 tapi bukan semua hasil jualan dapat kepada penulis tersebut. Penerbit telah dahulukan duit mereka untuk membayar ilustrator, editor/pembaca pruf, kos pemasaran buku selepas dicetak dan lain-lain.

Nak cetak buku pun kena hantar kedai dan itu semua perlukan duit. Banyak proses sebelum sesebuah buku itu berada di rak kedai buku. Penerbit sendiri tak dapat banyak mana. Sama-sama cari makan. Yang terbit sendiri pun sama juga. Dia tetap kena tanggung kos yang disebut di atas. Mana ada cetak buku guna air liur saja.

2. Penulis dapat Buku Percuma

“Bagilah satu buku free, penulis mesti dapat free kan?”

Ada orang terkejut apabila lihat saya kongsikan gambar buku sendiri yang dibeli daripada penerbit. Dalam fikiran dia, penulis ni boleh pesan saja berapa buku yang dia nak dan penerbit boleh bagi secara percuma. Tidak. Salah tu. Penulis kan dah dapat royalti, jadi kalau dia nak jual sendiri buku, dia juga kena beli.

Satu lagi saya nak pesan ni. Kalau boleh, janganlah minta percuma. Kalau betul nak sokong usaha dia dalam penulisan, belilah. Apabila anda minta secara percuma, anda seperti rendahkan kemampuan dia pula. Seolah-olah karya dia tak ada nilai bagi anda. Tak ada harga untuk dijual.


3. Semua Penulis buat Sendiri

“Mesti pening dan stres jadi penulis. A sampai Z dia kena buat.”

Memang banyak proses yang terlibat untuk menghasilkan sesebuah buku bermula daripada tulis manuskrip hinggalah dicetak menjadi buku fizikal. Tapi urusan teknikal selepas itu, bukanlah penulis yang buat. Bukan kepakaran penulis tersebut. 

Apabila manuskrip siap, penulis akan hantar kepada penerbit untuk urusan sunting karya, layout, bacaan pruf, mohon ISBN, cetak dan urusan pemasaran. Begitu juga yang terbit sendiri. Dia sendiri pun tak akan 100% buat sendiri. Pasti ada bahagian tertentu yang dia suruh/upah pihak lain.

4. 24 Jam Depan Laptop

"Leceh jadi penulis ni sebab 24 jam kena duduk depan laptop."

Saya sendiri tak nak kalau macam tu. Sekarang kan ada telefon pintar dan segala macam gajet lain. Kalau nak jadi pintar juga, maksimumkanlah penggunaannya. Banyak buku di luar sana yang hanya ditulis dengan menggunakan telefon.

5. Penulis mesti Tulis Novel

"Wan, hang tulis novel apa?"

Soalan ni saya selalu dapat. Biasanya sebelum jawab, saya senyum dulu. Bila tulis buku, ramai ingat novel. Buku ini ada dua kategori utama. Buku fiksyen dan bukan fiksyen.

Fiksyen (rekaan) - Novel, cerpen dll.

Bukan fiksyen (kisah benar) - Autobiografi, buku umum dll.

Jadi, lepas ini boleh dah tukar soalan kepada, “Hang tulis buku apa?”

6. Perlu Ada Latar Belakang/Pendidikan Bidang Berkaitan

"Hang lainlah Wan. Cikgu BM. Bolehlah tulis."

Saya tak pastilah sama ada orang yang bertanya itu tahu atau tidak yang ada penjual dadih yang menulis dan bukunya menjadi bestseller. Sekadar satu contoh. Sekarang ini segala maklumat di hujung jari. Terlalu banyak bengkel dan program tentang penulisan ini. Percuma dan berbayar. Terpulang pada diri sama ada nak belajar atau tidak. Tak cukup sekadar minat kalau banyak bagi alasan setelah itu. Usaha untuk pastikan minat itu menjadi satu hasil yang dapat banggakan diri.


7. Tulis dan Siap dalam Sehari

"Hairan aku dengan penulis ni. Rajin betul buat buku dan tulis tebal-tebal ni."

Bukan orang lain. Saya sendiri yang timbulkan persoalan itu sebelum terlibat secara langsung dalam bidang ini. Saya fikir yang seolah-olah penulis itu menulis dalam masa sehari. Kita sendiri tahu yang sebuah rumah hanya bermula dengan seketul bata. 1000 langkah ke hadapan bermula dengan satu langkah pertama. 

Begitu juga dengan menulis buku. Hanya bermula dengan satu patah kata. Ada penulis ambil masa berbulan-bulan untuk menulis satu buku. Ada juga yang sudah bertahun menulis tapi tak siap-siap juga.

8. Penulis Hanya Perlu Menulis

"Penulis kena tulis saja kan setiap hari?"

Tidak. Buku yang baik tidak hanya memberi hiburan tetapi memberi pendidikan, nilai dan pengajaran. Penulis yang baik akan 'study' terlebih dahulu sebelum menulis. Salah satu caranya adalah dengan membaca. Sasterawan negara, Datuk A. Samad Said dah pesan lama dah. Baca. Baca. Baca. Baca. Tulis. 

Penulis bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat kepada pembaca. Tidak hanya hentam kromo dah asal siap. Setiap perkataan yang ditulis mampu memberi pahala atau menambah dosa. Hati-hati dan berwaspada selalu dalam setiap patah kata yang digunakan.

9. Siap Tulis, Tunggu Royalti Saja

“Penulis tulis saja, bab promo dan hebahkan karya serahkan sepenuhnya pada penerbit.”

Aku fikir perkara ini tidak seharusnya berlaku. Penerbit nak terbitkan buku kita pun dah kira bagus. Kenapa tidak kita cuba bantu penerbit dengan bantu penerbit buat hebahan tentang buku kita itu. Kalau kita sendiri pun malas, janganlah harap orang lain rajin nak beli buku kita. Lepas tu kalau jualan rendah, mula meroyan. Lebih teruk salahkan penerbit.

Penulis yang punya nama besar dalam industri pun rajin turun padang jumpa pembaca. Inikan pula kita yang bukan siapa-siapa. Jangan berlagak diva. Kita tak akan ke mana kalau harapkan orang lain semata-mata dan pentingkan diri sendiri. Puan Ainon pun pernah pesan. “Kalau kita buat sendiri, kita mungkin pergi cepat. Kalau kita buat ramai-ramai, kita akan pergi jauh dan lama."

10. Penulis Sifatnya Introvert

“Dalam buku/facebook punyalah pung pang pung pang, bila jumpa nak dengar suara pun payah.”

Saya sendiri tak nafikan yang banyak penulis saya jumpa bersifat introvent ini. Namun, mereka cuba juga jumpa para pembaca dan menyantuni semua orang walaupun agak kekok pada mulanya. Tapi bila fikir balik, tak adil kalau kita nak nilai mereka hanya dengan perkenalan pertama. Saya teringat kata-kata Lan Pet-Pet apabila peminat suruh dia buat lawak apabila orang jumpa dia di luar.

“Perwatakan saya berbeza waktu bekerja dan di luar. Tak kan tiba-tiba saya nak buat lawak dengan orang yang saya tak kenal.”

Betul juga kan. Kalau anda kenal penulis itu, tegurlah dia dulu. Jangan tunggu dia tegur dan kalau dia tak tegur, terus anda cop dia sombong dan sebagainya. Tak betullah kalau macam tu. Insya Allah, tiada penulis yang akan sombong. Tanpa pembaca, penulis ni bukanlah siapa-siapa.

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "