Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Doktor Ini Beri Penjelasan, Mengapa Anak-Anak Seharusnya Tidur Berasingan Daripada Ibu & Bapa

19 Apr 2017
No Comment

Pengasingan tempat tidur antara anak-anak dan ibu bapa sering kali kita lihat dilakukan oleh negara Barat, yanag mana anak-anak disediakan bilik khusus untuk mereka walaupun masih kecil lagi.

Tapi, situasi ini jarang sekali dilihat di negara kita, yang mana, masih ada ibu bapa yang membenarkan anak-anak tidur sekali bersama, dan ada juga suami terpaksa tidur di ruang tamu, kerana anak-anak ingin tidur bersama ibu mereka.

Namun begitu, tindakan sebegini adalah tidak wajar menurut seorang doktor, iaitu Dr Rusyainie Ramli, anak-anak seharusnya diajar tidur berasingan dari ibu bapa, sedari kecil lagi. Mengapa?

Mari kita ikuti penjelasan darinya.


KATIL KITA, KITA PUNYA LAH
'Saya tidur kat luar Doktor. Anak-anak tidur dengan isteri di dalam bilik.'

Tercengang saya mendengarkan seorang suami mengeluarkan ayat begitu. Aik??? Anak-anaknya sudah pun bersekolah, mengapa masih mahu menempel dengan ibunya.

Sebenarnya memang perkara ini selalu berlaku. Perkahwinan dibina di atas landasan kasih seorang lelaki dan seorang wanita. Kehadiran anak-anak tidak akan mengubah fakta yang ikatan antara suami isteri mesti mekar sentiasa. Maka, dengan tidur sekatil suami isteri itu tersangatlah pentingnya sehinggakan di dalam Islam, dinyatakan suami mempunyai hak ke atas tempat tidur.

Situasi yang selalu terjadi, suami balik ke rumah, isteri sibuk melayani anak-anak. Kalau isteri bekerja, kadang kala pulang lagi lambat dari suami. Sampai di rumah, dapur mesti berasap. Kain baju menunggu. Itu belum kira tugas mengemas rumah yang tiada berpenghujung. Suami juga menjengah di muka pintu, terus dikerumuni anak-anak. Suami isteri terlalu sibuk dengan tugas masing-masing. 

Kalaulah anak-anak dilatih untuk tidur awal (malangnya dalam 10 keluarga saya jumpa, 1 pun belum tentu anak-anak tidur awal), ada jugalah masa untuk menarik nafas lega seketika sebelum melelapkan mata.


Sudahlah begitu, di atas katil pun anak-anak bergelimpangan. Mana masa dan tempat untuk suami dan isteri? Mengapa kita ketepikan perkara yang sebenarnya sangat penting walaupun dipandang remeh oleh ramai orang. Dunia suami isteri bukan berkisar pada anak-anak sahaja. Bilik tidur utama memang dibuat untuk suami dan isteri. Kalau anak itu bayi sekali pun, bayi tidak boleh mengambil tempat suami di sebelah isteri. Isteri itu tempatnya di sebelah suami. Kalau isteri tidur dengan anak melekap di dada, di mana tempat suami? 

Suami dengan rasa prihatin walaupun terkilan, akan menjarakkan diri sedikit dari isteri. Bayi dari kecil mesti diasingkan dari katil suami isteri. Katil itu ekslusif untuk suami isteri. Letakkan katil bayi di sebelah katil. Bila cukup usianya, asingkan tempat tidur anak-anak dari ibu dan ayah.

Ajaran Islam juga ada menyentuh perihal mengasingkan tempat tidur antara ibu ayah dan anak-anak. Di dalam Al Quran ada firman Allah menyebut tentang mengasingkan tempat tidur di antara ibu ayah dan anak-anak (Surah an-Nur ayat 58). 

Yang saya ingin tekankan di sini ialah kepentingan menjadikan katil suami isteri itu sebagai satu-satunya tempat di dalam rumah yang tidak boleh dibenarkan anak-anak untuk menumpang tidur. Anak-anak mesti dididik untuk menghormati katil ibu dan ayah. 

Di tempat yang satu itulah untuk suami isteri menyedari dan mengetahui yang sebuah rumah tangga itu tidak akan sempurna tanpa cinta yang tiada kurangnya walaupun sudah bertahun-tahun berlalu. Di dalam budaya Melayu sekali pun, selain dari pelamin, kalau bab mengadakan majlis perkahwinan, menghias bilik pengantin itu bukan perkara dipandang enteng.


Isteri, anak-anak mesti dibenarkan membesar. Tidak kira bagaimana sekalipun kita mahu menyekat mereka dari meningkat usia, mereka tetap akan membesar. Lepaskan mereka untuk mereka tidur sendiri. Benarkan diri kita berehat. Tidur itulah satu-satunya masa untuk kita berehat. Dengan adanya anak-anak tidur sekatil yang selalu lasak lagaknya bila tidur, tidak mungkin kita mendapat tidur yang sempurna.

Suami, bertegaslah di dalam mendidik anak-anak untuk tidur sendiri. Katil itu hak kita dan bukan untuk anak-anak. Mereka ada tempat mereka sendiri dan mereka mesti menghormati privasi kita.

Dr. Rusyainie Ramli
Suami suruh anak-anak tidur sendiri supaya saya dapat berehat walaupun dia tidak ada di rumah.

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "