Bukan itu sahaja, ubat-ubatan juga boleh memberi kesan sampingan kepada kita apabila mengambilnya, seperti rasa mengantuk, dan kesan tersebut bukanlah berpanjangan, Cuma apabila kita mengambil ubat sahaja.
Tapi, jika ia hanya memberikan kesan sampingan sahaja, tidak mengapa, bagaimana pula jika anda mendapat kesan buruk dari ubat atau suplemen yang anda ambil? Lebih-lebih lagi, apabila pengeluar produk di luar sana hanya menyatakan kesan buruk itu adalah salah satu daripada ‘healing crisis’ yang pengguna akan hadapi.
Menurut perkongsian dari seorang doktor, iaitu Hana Hadzrami, istilah ‘healing crisis’ tersebut hanyalah gimik pengeluar produk untuk lepaskan diri dari bertanggungjawab akan kesan buruk yang dihadapi pengguna.
Mari kita ikuti penjelasan lebih lanjut akan ‘healing crisis’ ini.
Apabila kita menggunakan sesuatu produk tak kira untuk kegunaan luaran atau dalaman, dan mengalami kesan buruk sewaktu menggunakannya; ia dipanggil kesan buruk (adverse reaction).
Adverse reaction adalah kesan buruk yang tak dijangka dari sesebuah produk. Ia tak sama dengan kesan sampingan (side effects) kerana kesan sampingan memang telah diketahui boleh terjadi, bersifat sementara dan terkawal.
Contohnya ubat batuk. Mengantuk adalah kesan sampingan biasa ubat batuk. Namun jika pernafasan terhenti atau tekanan darah menjadi rendah selepas memakan ubat batuk, ia dipanggil kesan buruk (adverse reaction) dan ubat perlu dihentikan serta merta.
Atau ubat kemoterapi; kesan sampingan antaranya ialah muntah, rambut gugur dan hilang tenaga. Dan kesan buruknya ialah jangkitan kuman akibat kekurangan imuniti. Bermakna kemoterapi perlu diteruskan walau ada kesan sampingan, namun perlu dihentikan buat sementara apabila timbul kesan buruk.
Kerap kita dengar istilah healing crisis apabila merujuk kepada perubatan alternatif. Kononnya sebelum pesakit sembuh, dia mestilah melalui kesan buruk terlebih dahulu untuk membuang toksin (detoksifikasi).
Sebenarnya istilah healing crisis tiada asas saintifik. Malah ia tak pernah disebut dalam mana-mana silibus perubatan dan farmakologi walau peringkat PhD sekalipun. Memanglah, kerana ia adalah istilah yang dibuat-buat oleh perawat alami. Malah istilah healing crisis adalah salah satu tanda anda sedang dirawat oleh perawat palsu (quack doctor).
Antara tanda lain anda menerima rawatan mengarut ialah apabila:
1. Perawat merawat penyakit yang tidak wujud (mengada-adakan penyakit)
2. Perawat mengatakan rawatan bakal mengambil masa lama
3. Perlu melalui healing crisis sebelum pulih sepenuhnya
4. Melalui proses detoksifikasi
5. Rawatan dikatakan berkesan semata-mata kerana ia dipraktikkan sejak zaman purba
Bukan tak pernah ada adverse reaction pada ubatan hospital. Pernah ubat bius kami menyebabkan pesakit kebas hingga ke leher hingga tak mampu bernafas, walau dos yang diberikan adalah normal dan selamat.
Apa yang kami lakukan ialah hentikan ubat tersebut dan beri rawatan segera kepada pesakit. Kami juga akan menyiasat insiden tersebut secara terperinci serta melaporkannya ke pihak farmasi dan pengeluar produk di kilang.
Kami takkan mendakwa reaksi tersebut sebagai healing crisis. Apalagi nak meletakkan kesalahan ke atas pesakit dengan menuduhnya tak makan ubat ikut waktu, kurang minum air dan sebagainya. Lingkuplah professionalism hospital kalau kami ambil jalan mudah dengan mendakwa itu ini sebagai healing crisis.
Orang yang kurang ilmu dan tak bertanggungjawab saja akan sebut masalah produk sebagai healing crisis.
🔹Hentikan produk dengan serta merta
🔹Dapatkan rawatan segera di hospital
🔹Isi borang laporan adverse reaction dan emailkan kepada NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency)
🔹Jumpa semula penjual, beritahu masalah anda dan tuntut gantirugi. Jika penjual cuba berdalih dan mendakwa itu sebagai healing crisis, lempang mukanya laju-laju.
Hana Hadzrami
Ayat terakhir itu hanyalah 'special effect' sebagai pengibur hati orang yang terkena 'adverse effect'. Usah dibuat ye!
- Siakap Keli
- Siakap Keli