Isu Kapcai: 'Tarik Balik Kenyataan Atau Ayah Report Polis Esok'- Rani Kulup
SHAH ALAM, 18 Jan - Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya menarik balik cadangan melarang motosikal berkapasiti enjin kecil atau kapcai dari memasuki Kuala Lumpur.
Presiden MJMM, Rani Kulup berkata cadangan itu sangat tidak munasabah serta bakal membebankan pengguna motosikal kapcai jika ia dilaksanakan.
"Sebenarnya tidak patut, beliau seorang menteri mengeluarkan cadangan yang mengundang kegusaran hati rakyat, larangan itu sangat tidak logik.
"Lagipun ramai rakyat bawahan serta anak muda yang menggunakan motosikal kapcai, untuk menjalankan rutin harian mereka...jadi jangan buat begitu, tarik balik kenyataan itu atau ayah buat laporan polis esok," katanya sebagaimana lapor Sinar Online.
Sementara itu, Tengku Adnan hari ini berkata larangan tersebut hanyalah kemungkinan sahaja dan bukan akan melaksanakannya.
"Jangan bimbang, kami tidak akan melaksanakan larangan itu. Sebelum ini saya berkata hanya kemungkinan kita akan melarang, bukan untuk melaksanakannya," katanya pada Rabu.
Beliau berkata kementerian itu tidak akan meneruskan larangan tersebut jika rakyat menolak cadangan ini.
"Kita akan sentiasa melihat dengan cara yang betul tanpa membebankan rakyat. Saya tahu ramai orang menggunakan kenderaan jenis ini, terutama untuk ke tempat kerja, kerana ianya murah. Kami tidak akan berbuat demikian jika rakyat tidak setuju. Apa yang boleh kita lakukan? Kami akan ikut kehendak rakyat," katanya sebagaimana lapor mStar.
Sumber: mStar Online, Sinar Online