Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

4 Kunci Utama Yang Mendorong Kepada Berlakunya Pemilikan Hartanah Di Luar Negara, Juga Di Malaysia

27 Jan 2017
No Comment

Bagi mereka yang mempunyai hartanah, sama ada rumah, atau tanah, sudah semestinya akan menjadi asset yang bernilai pada masa akan dating. Ada juga di antara kita yang memiliki hartanah lebih dari satu, dan salah satunya dijadikan sebagai pelaburan.

Tetapi, bagaimana pula dengan hartanah di luar negara, di mana pada masa kini, telah banyak rakyat asing yang mempunyai hartanah di Malaysia, dan ada juga rakyat Malaysia yang mempunyai hartanah di luar negara.

Apakah faktor yang mendorong pembelian hartanah di Malaysia, dan di negara asing? Untuk menjawab pertanyaan itu, perunding hartanah, saudara Syakir Zainol memberi ulasan yang teliti akan isu ini. Mari kita ikuti perkongsian darinya.


KITA JUGA BELI HARTANAH NEGARA ASING

Bukan pelabur luar sahaja yang datang beli hartanah di Malaysia, bahkan rakyat kita juga turut beli hartanah di negara asing.

Malaysia, melalui organisasi-organisasi kerajaan dan swasta milikan tempatan turut memiliki portfolio pelaburan hartanah yang besar di seluruh dunia.

Sebagai contoh, KWSP kini sedang menanti untuk menuai hasil pelaburan mereka melalui penjualan 2 buah asetnya di London iaitu St James Square dan Tower Bridge House dengan keuntungan sekitar RM 550 juta. Pada tahun 2015 pula, gabungan KWAP dan KWSP telah menjual 1 Sheldon Place milikan bersama mereka dengan harga £210 juta kepada British Land, sebuah tabung amanah saham hartanah di United Kingdom.

Ini tidak termasuk warganegara Malaysia yang membeli hartanah negara-negara asing atas kapasiti peribadi; amalan pelaburan sebegini bukanlah satu perkara yang dianggap luar biasa bahkan turut dipraktiskan secara meluas oleh banyak negara lain.

Persoalan sebenar yang perlu difahami adalah, apakah faktor-faktor berlakunya pemilikan hartanah di luar negara?

Terdapat 4 kunci utama yang mendorong kepada berlakunya pemilikan hartanah di luar negara iaitu pelaburan, gaya hidup, migrasi dan pendidikan.

1. Pelaburan 

Pelaburan merupakan faktor penyumbang terutama disebabkan nilai hartanah dan pertukaran mata wang yang menguntungkan menjadi motivasi kepada pelabur untuk melabur di luar negara. Sebagai contoh, kejatuhan mata wang ringgit membolehkan pelabur asing membeli lebih banyak hartanah di Malaysia. Sebaliknya juga mata wang asing yang lebih tinggi nilainya seperti US Dollar dan Great Britain Pound berupaya menjana perolehan yang lebih tinggi kepada pelabur Malaysia sekalipun dalam peratusan keuntungan yang kecil.

2. Gaya Hidup

Negara-negara membangun turut menawarkan gaya hidup yang lebih moden dan mewah. Ini juga mendorong warga asing untuk memiliki hartanah di negara-negara ini disebabkan keterujaan mereka untuk mengecapi gaya hidup yang mereka dambakan setara dengan status sosio-ekonomi yang mereka miliki.

3. Migrasi

Begitu juga tarikan untuk berhijrah ke negara-negara membangun demi kelangsungan hidup yang dilihat lebih baik turut menyumbang kepada lebih banyak pembelian hartanah asing yang diperlukan oleh imigran-imigran ini untuk dijadikan aset mereka menetap di negara luar.

4. Pendidikan

Tidak ketinggalan, kini menjadi trend warga asing yang membeli hartanah di luar negara sebagai kediaman buat anak-anak mereka yang melanjutkan pelajaran di sana. Faktor kesesuaian budaya tempatan sangat memainkan peranan dalam mempengaruhi trend sebegini, sebagai contoh di Malaysia kaum Cina merupakan kaum kedua terbesar dan ini menarik rakyat negara China untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pendidikan tertiari pilihan mereka.


Tidak wajar untuk berterusan rasa takut dan gusar secara tidak bertempat tatkala melihat kebanjran pelabur-pelabur luar yang datang dan membuat pemilikan hartanah di Malaysia.

Dalam pada itu, sedarkah anda bahawa rakyat asing hanya boleh beli hartanah strata pegangan bebas dengan nilai minimum RM 1 juta sahaja di Wilayah Persekutuan?

Sehubungan itu, tidak wujud isu persaingan dengan warga tempatan berikutan pasaran bagi hartanah lain (kuantiti yang jauh lebih besar) masih terbuka luas untuk dijadikan milikan rakyat tempatan secara eksklusif tanpa perlu bersaing dengan orang luar.

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "