Sultan Kelantan Mencemar Duli Sertai Solat Hajat, Bacaan Yasin & Doa Sempena Pemahsyuran Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15
Kota Bharu, 8 Dis: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli bagi menyertai majlis solat hajat, bacaan yasin dan doa sempena pemashyuran baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Masjid Muhammadi.
Baginda tiba pada jam 7 malam sebelum menunaikan solat Maghrib bersama lebih 1,000 jemaah.
Hadir sama ke majlis itu adalah Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan menter besar, Datuk Ahmad Yakob.
Baginda kemudian menunaikan solat hajat yang diimamkan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan membaca surah Yasin yang diketuai Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad.
Baginda kemudian menunaikan solat Isyak berjemaah sebelum berangkat meninggalkan majlis pada 8.40 malam tadi.
Sultan Muhammad V dijadual berangkat ke ibu negara 13 Disember ini bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-244 diikuti dengan Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan serta pengisytiharan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Sumber: BH Online