Wanita Berjubah Hitam Keliling Kampung Setiap Jumaat Untuk Rotan Lelaki Yang Tak Solat Jumaat
Puwakarta (Jawa Barat): Setiap hari Jumaat, satu kelibat wanita berjubah hitam memegang rotan akan dapat dilihat di kampung Empangsari di Desa Plered di sini.
Tujuannya hanya satu, iaitu untuk menggesa lelaki-lelaki yang masih lagi leka di warung kopi atau di tepi jalan supaya bergegas untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat.
Apa yang lebih mengagumkan, rutin yang dilaksanakan oleh Siti Hindun, atau lebih dikenali dengan nama panggilan Mak Gober, pada setiap Jumaat itu sudah pun dilakukan sejak hampir 10 tahun lalu bagi memastikan tiada lelaki dewasa yang memonteng solat Jumaat.
“Apa yang penting kaum lelaki wajib solat Jumaat dan tiada yang berkeliaran di jalan raya,” kata Mak Gober yang berusia 64 tahun.
Menurutnya lagi, aktiviti yang dijalankan bersama beberapa rakan itu dilakukan sejak 2007 itu meliputi ceruk kampung termasuk kedai, restoran dan lorong kecil bagi mencari individu-individu yang memonteng solat Jumaat.
"Saya akan pastikan tidak ada lelaki yang berkeliaran semasa solat Jumaat di desa Plered. Kalau ada.. hmmm, siap sedialah terima pukulan dari saya", katanya sebagaimana lapor Radar Karawang pada Selasa.
“Kalau ada yang saya jumpa berkeliaran ketika waktu solat Jumaat saya akan pukul mereka.
“Saya bukannya pukul dengan kuat tetapi hanya mahu membuatkan mereka malu dan sedar kewajipan sebagai orang Islam,” jelasnya.
Siti Hindun memberitahu, dia mengambil tindakan itu selepas ramai orang kampung mengadu sikap sebilangan lelaki yang tidak pergi ke masjid untuk solat Jumaat.
Sumber : Harian Metro, Dream.co.id