KOTA BHARU - Seorang pegawai kastam maut selepas kenderaan rasmi yang dinaiki olehnya dilanggar oleh pacuan empat roda dipercayai tonto.
Anisah Ali,54, meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, pada jam 11 malam tadi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, kemalangan berlaku di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, pada jam 1.25 pagi, Jumaat lalu.
Katanya, ketika itu, mangsa bersama dua lagi anggota lelaki menaiki kereta dan mengejar kenderaan pacuan empat roda dipercayai penyeludup.
"Kejadian kira-kira jam 1.25 pagi itu, mangsa bersama dua rakan sekerja lelaki sedang bertugas dan pada masa sama, sebuah kenderaan dinaiki tonto bertindak menghimpit dan merempuh belakang kenderaan mereka yang menyebabkan terbabas dan melanggar pokok.
"Kereta mangsa bagaimanapun dirempuh dari belakang oleh satu lagi kenderaan pacuan empat roda lain dipercayai tonto.
"Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan dalaman dan komplikasi usus.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ab Rahman berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.
Sumber : Sinar Online, Harian Metro
Sumber : Sinar Online, Harian Metro