TELUK INTAN, 5 Okt: Seorang juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera parah akibat melecur selepas pencawang elektrik di kawasan premis perniagaan berhampiran Kolej Komuniti Bagan Datoh di Hutan Melintang di sini meletup ketika sedang diselenggara dalam kejadian 12.18 tengahhari tadi.
Ketika kejadian, mangsa yang berusia 34 tahun sedang melakukan kerjanya sebelum berlaku letupan dan mangsa dilihat keluar dari bilik tersebut dalam keadaan tubuhnya yang terbakar.
Beberapa kakitangan TNB yang berada di situ kemudian segera bertindak menyelamatkan mangsa sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menerima rawatan.
Difahamkan, mangsa kemungkinan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk
menerima rawatan susulan akibat kecederaan dialaminya itu.
Menurut ketua Jurutera negeri Bahagian Pembahagian TNB, Raja Abd Jalil Raja Zaid, siasatan terperinci mengenai punca kejadian sedang dijalankan.
"Siasatan sedang dijalankan dan buat masa ini kami memberi tumpuan untuk menyediakan rawatan terbaik kepada mangsa dan membantu ahli keluarganya yang masih terkejut dengan kejadian itu," katanya sebagaimana lapor BH Online.
Sumber : BH Online