Bot Bawa Aktivis Malaysia Dihalang Tentera Israel, Dieskort ke Pelabuhan Ashdod - Laporan
Kuala Lumpur, 6 Okt : Tentera laut israel telah mengambil alih kapal Zaytouna-Olive yang membawa 13 aktivis wanita dalam misi Women's Boat to Gaza yang mana salah seorang dari aktivis itu adalah warga Malaysia, iaitu Dr. Fauziah Mohd Hasan.
Perkara itu disahkan oleh Pusat Krisis WBG Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang terputus hubungan dengan ahli misi WBG.
"Kami mengesahkan kapal Zaytouna-Olive beserta tiga kru dan 10 orang anak kapal termasuk wakil tunggal Malaysia, Dr Fauziah Mohd Hasan telah ditawan oleh tentera Israel sekitar jam 8:58 malam hari ini.
"Kami terputus hubungan dengan kapal itu pada 8.50 malam (waktu Malaysia) dan koordinat kedudukan terakhir mereka ialah di +31.975642, +33.640163; kurang 50 batu nautika dari Gaza.
"Laporan selanjutnya akan menyusul selepas kami mendapatkan maklumat lanjut dari pihak Freedom Flotilla Coalition (FFC)," katanya.
Sementara itu, portal berita israel, timeofisrael.com melaporkan kapal itu dihalang oleh tentera laut israel ketika berada 65 km dari kawasan pantai Gaza dan signal komunikasi dipercayai telah disekat oleh israel sebelum mengambil alih bot tersebut.
"Bot itu diambil alih tanpa keganasan atau rintangan dari 13 aktivis atas kapal
"Askar wanita dikerahkan sebagai barisan hadapan dalam proses tersebut", lapor Israel Radio.
Media israel juga turut melaporkan bahawa pihak berkuasa telah merancang untuk menghalang bot itu dan aktivis telah dieskort ke pelabuhan Ashdod.
Agensi berita AP pula melaporkan, tentera israel dalam satu kenyataan berkata pihaknya telah memberhentikan bot itu di perairan antarabangsa dan menyuruhnya untuk mengubah haluan. Apabila enggan, tentera menghentikan bot tersebut dan mula membuat pencarian.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa proses pencarian adalah 'lancar'.
Sumber : Timeofisrael, Harian Metro, AP