Bas Persiaran Terbalik, 12 Pelancong Singapura Cedera
GOMBAK, 31 Ogos: 12 orang penumpang dan seorang pemandu sebuah bas persiaran cedera apabila bas persiaran yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di KM 31.3 Lebuhraya Karak dalam kejadian petang tadi.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.50 petang itu, bas tersebut yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara dilaporkan gagal dikawal dan terbabas melanggar pembahagi jalan.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata bas itu kemudian dilaporkan terbalik hingga menghalang dua lorong di laluan berkenaan.
Seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba Selayang, dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat kemalangan itu namun sebaik tiba semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan.
"Hasil pemeriksaan, 12 penumpang yang juga pelancong warga Singapura dan dua pemandu bas dan pembantunya kini dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.
Akibat kemalangan itu, laluan dari arah Bentong menuju ke Plaza Tol Gombak, mengalami kesesakan teruk sepanjang hampir dua kilometer.
Sumber : BH Online