Pelakon cilik terkenal, Mia Sara Nasuha, 11, dikatakan telah mengambil keputusan untuk terus berhijab selepas pulang daripada menunaikan umrah tiga minggu lalu.
Memetik laporan mStar Online, perkara ini disahkan oleh bapa Mia, Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh, ,menurut Ridhuan, anaknya itu telah meluahkan keinginan terus memakai hijab berkenaan sebelum ke Mekah pada 21 Disembar lalu dan hal berkenaan disokong penuh oleh keluarga.
"Nak diikutkan Mia berhasrat mahu bertudung sejak setahun lalu. Lebih-lebih lagi apabila melihat semua keluarganya menutup aurat, dia seorang sahaja yang tidak.
"Saya menyokong hasrat itu dan pada masa sama tidak memaksa kerana dia masih lagi belum akil baligh," katanya yang dipetik mStar Online.
Bagaimanapun, Ridhuan berharapa agar peminat tidak akan mengkritik Mia memandangkan anaknya kini masih terikat dengan kontrak beberapa buah drama yang memerlukan Mia tidak bertudung.
"Sebelum ini Mia telah mengikat kontrak untuk beberapa siri drama yang memerlukan dia tidak bertudung.
"Oleh itu Mia akan tampil tanpa hijab untuk beberapa buah drama buat masa ini. Saya harap, tiada yang menghentam. Apatah lagi niatnya ingin berubah untuk menjadi seorang Islam yang baik, jadi biarlah dia melalui proses belajar itu," ujarnya.
Menurut Ridhuan lagi, jika keputusan Mia untuk bertudung ini akan menyebabkan dia kurang mendapat tawaran, dia dan Mia sedia menerima perkara berkenaan dengan hati yang terbuka.
Malah Ridhuan yakin, niat baik anaknya mahu bertudung akan memberi rahmat dan mungkin rezeki yang diberi bukan daripada bidang seni lakonan.
"Rezeki kita adalah daripada Allah, bukan manusia yang tentukan. Saya percaya Mia sudah bersedia dengan segala kemungkinan," tuturnya. - Siakapkeli.my