UITM Dan UIAM Cipta Sejarah Dinobatkan Juara Dalam Pertandingan Debat Berprestij Dunia
Pasukan Malaysia yang diwakili daripada pendebat UITM dan UIAM muncul juara dalam salah satu pertandingan debat paling kompetitif di dunia iaitu Pertandingan Debat Cambridge Intervarsity (Cambridge IV).
Kejayaan mereka ini sekaligus menjadi bukti kehebatan anak-anak watan dari Malaysia dan sudah pasti akan mengharumkan dan mengangkat nama negara di mata dunia
Memetik laporan portal Isma Web, kejayaan UiTM yang menjadi universiti Malaysia pertama dalam sejarah, memenangi kategori utama apabila menjuarai debat dalam liga akhir menentang pasukan dari Persatuan Sejarah Dublin, Trinity College dan dua pasukan dari Universiti Toronto, Hart House A & B, manakala pasukan UIAM menjuarai kategori English as Second Language (ESL).
Mohd Mifzal Mohd Murshid Kieron, dan Jasmine Ho dari UITM, kedua-duanya berumur 22 tahun, berjaya mempertahankan usul ‘Dewan ini percaya komuniti antarabangsa perlu membayar kepada negara-negara yang berdekatan dengan zon konflik untuk memproses, menyelesaikan dan menyekat pergerakan selanjutnya pelarian’ dalam kedudukan mereka sebagai kerajaan.
Sewaktu kategori akhir ESL, pendebatnya Ameera Natasha Moore, 22, dan Sara Rahim, 20, dari UIAM mengalahkan pasukan Tel Aviv dari Israel dan Leiden A dan Leidin B, kedua-duanya dari Belanda.
Mereka membahaskan usul ‘Dewan ini percaya bahawa Arab Saudi perlu menghadkan penglibatan dalam ibadah haji kepada rakyat negara-negara yang komited menentang IS’ sebagai pembangkang.
Bagi semua kategori, usul hanya didedahkan 15 minit sebelum perbahasan dijalankan dan tiada sokongan elektronik dibenarkan selain kamus elektronik.
Tiada bantuan luar dibenarkan dalam masa persediaan 15 minit.
Pertandingan ini telah berlangsung di Universiti Cambridge, United Kingdom pada 20 dan 21 November lalu melibatkan 128 pasukan yang terlibat adalah Universiti Harvard, Universiti Oxford, London School of Economics, Universiti Toronto, Universiti Tel Aviv, Universiti Cornell dan Kolej Trinity Dublin. - Siakapkeli.my