Suami Kepada Guru Besar Yang Hilang Masih Berharapkan Isterinya Pulang Dengan Selamat
KUALA KUBU BHARU: Suami Jashiah Rabu, guru besar Sekolah Kebangsaan Keramat Satu yang hilang sejak sebulan lalu masih mengharapkan isterinya dapat pulang dalam keadaan selamat.
Ruzilan Omar, 57 bagaimanapun redha sekiranya sebaliknya yang berlaku, memandangkan sehingga ke hari ini tidak ada petanda mengenai kehilangan guru berkenaan.
“Doa dan harapan saya dia pulang dengan selamat... walaupun ditakdirkan sudah tiada, saya mahu jasadnya ada.
“Tetapi, saya nak kedua-duanya sekali (selamat dengan jasad sempurna). Kalau tiada saya reda," katanya.
Jashiah dilaporkan hilang sejak 23 Oktober lalu dan dikatakan menghala ke kawasan hutan simpan Bukit Kutu selepas keluar daripada rumahnya di Taman Seri Seruling dengan berjalan kaki dan menumpang kereta orang lain kira-kira 10km.
Sejak menjalani rawatan kimoterapi Mac lalu akibat barah payudara, guru berkenaan didakwa mengalami kemurungan dan pernah menghilangkan diri pada Ogos lepas, dan ditemui di Seremban. -Siakapkeli.my