Cybertroopers Umno Jangan Buang Masa Cipta Kontroversi Langkah Rawang Untuk Jatuhkan Azmin - PKR
KUALA LUMPUR: Selepas Langkah Kajang yang dilakukan tahun lepas yang menjadi kejayaan PKR menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, parti itu sekali lagi dikaitkan dengan isu yang sama, kali ini dikenali sebagai Langkah Rawang.
Kononnya bertujuan menyingkirkan Mohamed Azmin Ali
juga sebagai Menteri Besar Selangor.
Sejak awal minggu ini heboh di kalangan rakyat bahawa ADUN Rawang, Gan Pei Nei akan melepaskan kerusinya untuk memberi laluan kepada Datuk Saifudin Abdullah untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu.
Saifudin merupakan bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang menyertai PKR, minggu lalu.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang menyifatkan ia sebagai cubaan cybertroopers Umno untuk memecahbelahkan PKR.
“Kami yakin kemasukan Saifuddin ke dalam PKR bukan untuk memecahbelahkan parti, tetapi untuk pengukuhan, kerana kepercayaan beliau terhadap perjuangan parti ini.
“Ini jelas, kepercayaan Saifuddin terhadap Umno sudah tiada.
“Kami berharap cybertrooper Umno berhenti membuang masa rakyat dengan gosip murahan ini dan melihat kepada keadaan yang lebih serius, terutamanya ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media. -Siakapkeli.my