Ibu Risau Keadaan Anak, Akan Hantuk Kepala Di Dinding Jika Tidak Diberi Makan
Melaka: Seorang ibu, Ramlah, 58, menyuarakan kebimbangan dengan sikap anaknya yang akan melalukan sesuatu diluar kebiasaan apabila tidak diberikan makanan.
Selain itu beliau menyuarakan kebimbangan dengan sikap Hairani Malik, 20, yang menghidap sindrom Down pernah menghantuk kepala ke dinding hingga berdarah menyebabkan dia terpaksa menurut saja kehendaknya.
“Selepas menjamah tiga bungkus nasi lemak dan segelas Milo ais, dia meminta mi goreng pula. Mahu atau tidak saya terpaksa layan selera anak kerana jika dibantah Hairani akan merajuk atau memberontak dengan menghantuk kepala ke dinding,” kata Ramlah Abd Manan dipetik dari Harian Metro mengenai dilema mengenai masalah obesiti anaknya.
Sejak kecil lagi selera anaknya itu agak sukar untuk dikawal dan kali terakhir dia menimbang berat anaknya itu ialah pada tahun 2014 dimana berat anak lelakinya itu mencecah lebih 100 kilogram (kg).
“Kini berat Hairani dipercayai sudah melebihi dari 100kg kerana dia sentiasa berselera menjamah makanan tanpa mengira waktu dan akan mengamuk jika permintaannya itu dibantah.
“Saya khuatir berat badan Hairani akan terus naik kerana kini dia sudah dikategorikan sebagai obes dan menghadapi kesukaran bergerak selain pakaian lama tidak boleh dipakai,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Batu 10, Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, di sini, semalam.
Menurut beliau, semasa arwah suaminya ada kehidupan Hairani akan diurus oleh bapanya di mana menghantarnya ke Sekolah Pendidikan Khas di Sekolah Menengah Seri Tanjung, sekali gus membolehkan dia mengetahui berat semasa anaknya itu.
Selepas suamninya meninggal pada Ogos tahun lalu segala tanggungjawab untuk menjaga Hairani jatuh kepadanya semata-mata selepas anak yang lain tinggal berasingan.
“Bagi saya dan arwah suami, Hairani anak istimewa, sejak berusia dua tahun, kami melayan segala kemahuannya. Sebelum ini dia amat rapat dengan ayahnya, namun selepas arwah tiada, dia sering termenung,” katanya.
Menurut abangnya pula, Hairi Malik , 28, berkata, tabiat adiknya itu bukan sahaja menghantukkan kepala di dinding jika tidak diberi makanan tetapi sering mengoyak pakaian yang dipakai sama ada seluar atau baju.
Menurutnya, ibu terpaksa menjahit semula pakaian yang rosak atau menggantikannya.
“Ibu sangat penyabar dan hanya dia mampu melayan gelagat Hairani. Bagaimanapun, saya tetap melawat mereka walaupun sibuk bekerja sebagai pemandu lori,” katanya. - Siakapkeli.my