Cecair Vape Dipantau Untuk Elak Penyalahgunaan Dadah - Polis
JOHOR BAHRU: Sebagai usaha menangani penyalahgunaan dadah, kesemua kontinjen bahagian narkotik seluruh negara diarah memantau penggunaan cecair vape dan e-rokok, yang dikhuatiri mengandungi ganja atau sebarang jenis dadah.
“Polis melihat perkara ini dengan serius dan perlu mengambil langkah proaktif.
“Di peringkat persekutuan, kita telah mewujudkan pasukan khas untuk menyiasat cecair vape dan e-rokok yang mengandungi ganja atau bahan terlarang yang lain," demikian menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sebagaimana memetik laporan The Rakyat Post.
Bukan itu sahaja, shisha juga akan turut dipantai selepas didakwa adanya kes menambah ganja dalam tembakau berperisa, kononnya menambah keseronokan merokok.
Sebelum ini polis memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba mempromosikan, membida atau menjual cecair vape yang mengandungi apa-apa dadah dan bahan terlarang, digunakan untuk e-rokok, boleh didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. -Siakapkeli.my