Nampaknya perang antara Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz masih berterusan sehingga ke hari ini.
Hari ini, menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers, TMJ memuatnaik satu lagi teguran panas terhadap Nazri.
“Nampaknya teguran saya secara baik ini telah mendapat maklum balas yang kasar daripada seorang menteri. Kalau saya mendapat jawapan sedemikian, apa harapan untuk teguran rakyat lain didengar?” demikian memetik dari laman sosial tersebut.
Bukan itu sahaja, TMJ turut memperingatkan setiap pemimpin kerajaan untuk tidak terlalu selesa dengan kedudukan yang ada sekarang, dengan menggunakan perumpamaan 'menteri bukan Tuhan'.
“Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur. Jangan fikir rakyat negara ini wujud untuk memberikan anda jawatan dan kekayaan, tetapi jawatan tersebut wujud supaya anda memberikan khidmat kepada rakyat.
“Apabila saya bersuara, saya melakukannya sebagai pemimpin rakyat saya, rakyat Johor dan Malaysia," titah Baginda lagi.
TMJ dalam pada itu tidak menghiraukan kritikan yang akan diterima selepas ini berikutan kenyataannya itu, kerana apa yang penting adalah niatnya untuk membela rakyat.
Posting TMJ dari laman tersebut setakat ini mendapat perkongsian lebih daripada 72,000 pelayar Facebook.
Beberapa hari lalu TMJ memuatnaik gamabr dengan isyarat tangan dengan bunyi ngauman harimau, selepas Nazri mengeluarkan amaran kepada Baginda untuk tidak mencampuri urusan politik negara, atau bakal 'dibelasah'.
Sementara itu, Nazri yang juga wakil rakyat Padang Rengas akan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 atas amaran berkenaan, sebagaimana yang disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. -Siakapkeli.my