SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah dimaklumkan mengenai krisis yang sedang melanda Pakatan Rakyat (PR), demikian menurut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Bukan itu sahaja, ujar Azmin, beberapa perkara tentang kemajuan dan politik di negeri itu juga turut disampaikan kepada Baginda.
"Untuk minggu ini, saya sudah menghadap Tuanku Sultan pada 22 Jun untuk memaklumkan antara lain kemajuan dalam usaha memuktamadkan Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor.
"Pada kesempatan ini, saya juga sudah memaklumkan kepada Tuanku Sultan tentang masalah dalaman Pakatan Rakyat di peringkat nasional," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmin dalam masa sama menegaskan kekuatan kerajaan Selangor akan terus dipertahankan dan terus berusaha mencapai aspirasi rakyat.
"Tuanku Sultan mengambil maklum tentang penjelasan yang saya berikan dan baginda mahu Kerajaan Selangor terus stabil untuk membangunkan negeri dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat," katanya lagi.
Mutakhir ini PR yang juga gabungan antara PKR-PAS-DAP dilanda krisis paling buruk sepanjang penubuhannya apabila saling menuding jari di antara satu sama lain.
Khabar angin mula bertebaran bahawa Pakatan Rakyat akan terus terkubur selepas Syawal ini, dengan satu lagi pakatan pembangkang yang baru akan diwujudkan.
Namun begitu wujud dakwaan PAS tidak akan diserap ke dalam gabungan baru itu. -Siakapkeli.my