MT Orkim Harmony Berjaya Ditemui, Kesemua 22 Anak Kapal Disahkan Selamat
KUALA LUMPUR: Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis lalu dilaporkan selamat.
Perkara ini disahkan oleh Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid.
Ujarnya operasi mencari dan menyelamat berkenaan yang diterajui TLDM berjaya mengesan kedudukan kapal tangki itu selepas pesawat P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia mengesan kapal berkenaan di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang pada 3.45 petang semalam.
Kapal yang ditemui didapati telah di cat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon' yang didakwa sebagai strategi penyamaran daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
MT Orkim Harmony, ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam Khamis lalu.
Ia membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta.
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar. -Siakapkeli.my