Dollah Salleh Kecewa Harimau Malaya Patah Taring
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh menzahirkan rasa kecewanya dengan pemainnya yang mudah hilang semangat ketika perlawanan menentang Palestin semalam.
Di dalam perlawanan itu, Malaysia dibelasah oleh Palestin 0-6 di dalam kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Menurut Dollah, pemain-pemain telah disuntik kata-kata semangat untuk bangkit semula, tetapi skuad Harimau Malaya tidak mampu bangun semula.
"Pada awal minit separuh masa kedua, kita nampak bagus apabila beberapa serangan dapat dilakukan. Tetapi apabila kita memberikan gol keempat kepada Palestin, para pemain kemudiannya nampak sudah berputus asa," katanya memetik laporan Bernama.
Dollah juga turut berkata, beliau akan membuat beberapa pertukaran terhadap skuad yang sedia ada.
"Kita kena berubah dari segi karakter dan semuanya. Kita perlu buat persiapan lebih rapi selepas ini," kata Dollah.
Dollah juga turut menegaskan dia tidak akan meletak jawatan berikutan kekalahan itu.
"Saya bukan pengecut. Saya tak panik tetapi saya kecewa dengan keadaan yang ditunjukkan para pemain."
Malaysia akan tampil menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September ini. - Siakapkeli.my