Respon Mufti Perak Berhubung Isu Aktiviti Mencium Duit
KUALA LUMPUR: Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria hari ini memberi respon terhadap isu aktiviti mencium duit dalam seminar yang menjadi viral di media sosial sebelum ini.
BACA : Gambar Cium Duit Jadi Viral
Menurut beliau, upacara itu yang dikatakan dapat merubah hidup ahlinya menjadi jutawan disifatkan khurafat dan mengarut semata-mata.
Beliau juga menyifatkan perkara ini sebagai perangkap dan taktik syarikat MLM tersebut untuk memujuk ahli baru menyertai kumpulan mereka.
"Mengarut semua ini, jika percaya ia boleh membawa syirik dan menyesatkan kepercayaan umat Islam.
"Mana boleh kaya dengan cium duit, tidak ada duit yang akan turun dari mana-mana atau elemen semangat duit yang dikatakan MLM berkenaan," katanya memetik satu laporan dari Astro Awani.
Gambar-gambar aktiviti mencium duit itu mendapat kritikan orang ramai di media sosial sehingga ada yang mengatakan perbuatan itu syirik.
Dr Harussani juga turut meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan taktik-taktik yang digunakan oleh MLM yang menggunakan modal duit untuk menarik orang ramai menyertai kumpulan mereka.
"Kalau hendak duit yang banyak, belilah saham yang betul jalannya, jaminan keuntungannya dan tidak tertipu pada masa hadapan.
"Jangan buat karut dengan percaya amalan sebegini. Cium duit kononnya nanti duit datang seperti yang diajar MLM sebegini tidak boleh dipercayai sama sekali," ujarnya lagi. - Siakapkeli.my