KUALA LUMPUR: Teknologi Hakisan Dakwat mula diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melumpuhkan kegiatan rompakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, wang kertas di dalam mesin akan dikotorkan sehingga tidak boleh ditanggalkan sekiranya peranti mesin mengesan cubaan merosakkan atau merompak.
“Wang yang dirosakkan ini akan memudahkan pihak berkuasa mengesan dan menjalankan siasatan terhadap sebarang cubaan merosak atau merompak mesin ATM serta pada masa sama, pemilik wang iaitu pihak bank boleh menukarkannya kepada wang baru di BNM,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Dengan kaedah terbaharu yang diperkenalkan syarikat Perancis, Oberthur Cash Protection itu, Bank Negara berharap keselamatan institusi kewangan negara sentiasa berada di tahap yang tinggi.
“BNM akan menjalankan pelbagai kempen bagi mempromosikan lagi perkembangan teknologi ini dan mendidik masyarakat dengan menekankan memiliki wang kertas yang mempunyai kesan dakwat hasil rompakan adalah satu kesalahan,” katanya. -Siakapkeli.my