KUALA LUMPUR: Kedudukan selesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS akan dinilai selepas bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang hari ini mengumumkan bertanding bagi jawatan nombor satu itu.
Katanya keputusan itu diambil selepas mendapat sokongan daripada rakan pimpinan di dalam PAS, termasuk ahli-ahli akar umbi, sebagaimana dilaporkan oleh Antarapos.
"Saya menyahut pencalonan ini dengan melihat sokongan daripada akar umbi. Ini juga berasaskan semangat persaudaraan dan cinta saya kepada PAS.
"Terserah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang sesuai dan penting untuk memimpin parti dalam keadaan sekarang," katanya ketika ditemui media di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, pagi tadi.
Selain Ahmad, turut dikatakan bakal mencabar Hadi adalah Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa. Namun sehingga kini Husam tidak memberikan sebarang pengesahan bagi pertandingan itu.
"Bagaimana dikatakan saya proksi DAP sedangkan saya ahli PAS? Saya proksi ahli-ahli PAS. Atau mungkin ketika saya jadi bekas Pesuruhjaya PAS Perak dahulu, saya yang memulakan persetujuan dan tindakan untuk membentuk kerajaan bersama DAP.
"Saya melihat perlu untuk saya berusaha menyatukan semula PAS dengan semangat persaudaraan dan mengukuhkan parti sebagai tunjang dalam Pakatan Rakyat (PR). Pimpinan PAS hari ini sering kata akan selalu bersama PR. Cuma saya melihat ia perlu diperbaiki lagi dalam usaha kita menawan Putrajaya dan PRU-14," katanya. -Siakapkeli.my