Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Lemas Sebelum Sempat Keluar Akibat Jeriji Gagal Dibuka Punca Kematian Dalam Kebanyakan Kes Kebakaran

14 Sep 2017

Terperangkap di dalam rumah akibat jeriji yang gagal dibuka lalu lemas dalam asap sebelum sempat keluar menjadi punca dalam kebanyakan kes kematian dalam insiden kebakaran.

Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkata, dalam kebanyakan kes, penghuni hanya menyedari kebakaran berlaku apabila api sudah marak, keadaan ini menyebabkan mereka hanya mempunyai masa yang singkat untuk bertindak.

“Jadi kita tidak dapat buat apa-apa, kalau ada pemadam api pun tak sempat untuk padam sebab api sudah besar," kata Wan Mohd Nor.

Menurutnya, JBPM walau bagaimanapun belum bercadang untuk mewujudkan undang-undang yang mewajibkan setiap rumah kediaman memasang jeriji mudah dibuka, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada mendidik masyarakat langkah berjaga-jaga sebagai kaedah terbaik.

“Kita yakin sekiranya kita ambil tindakan lebih agresif dari segi kempen menggunakan saluran yang betul, sambutan daripada orang ramai akan lebih baik. Jadi cara terbaik seperti yang berlaku di negara-negara lain juga melalui public education.

“Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan, sekiranya langkah kita ini tidak berkesan, memang ada dicadangkan dalam ahli mesyuarat bahawa kita perlu lihat peraturan standard dan undang-undang berkaitan untuk ditambah baik pada masa akan datang,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, pihak bomba juga tidak diberi kuasa melalui undang-undang untuk menjalankan penguatkuasaan untuk membolehkan bomba menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

“Jadi kita kena kira juga kalau kita ada undang-undang dari segi penguatkuasaan, adakah kita mampu untuk pergi rumah ke rumah, periksa sama ada dipasang jeriji mudah buka atau tidak,” jelasnya.

Menurut beliau, syor JBPM agar setiap kediaman memilih untuk memasang jeriji yang mudah dibuka ketika kecemasan sudah lama dibuat, namun semakin dilupakan. Kini tiba masa untuk menegaskannya semula.

“Selalu kita pasang jeriji untuk keselamatan rumah daripada ancaman luar, tetapi kita sering lupa tentang keselamatan kita sebagai penghuni.

“Kita juga akan minta supaya ketika penyerahan kunci kepada pemilik kediaman, perlu disertakan bersama panduan pemasangan gril mengikut piawaian kita.”

Selain itu, JBPM juga membuat saranan agar pemilik rumah memasang alat penggera asap sebagai persediaan mengesan kebakaran lebih awal.

“Sekiranya pengesan asap dipasang, sebarang kebakaran dapat dikesan ketika ia masih kecil. Jadi kita boleh bertindak sama ada untuk keluar dengan selamat ataupun menggunakan alat pemadam api untuk memadam kebakaran,” katanya.

Sumber : Astro Awani
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "