Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Penyelam Tempatan Cari Gamat di Perairan Rompin Dakwa Jumpa Bangkai Kapal Perang Jepun

4 Okt 2016


KUANTAN, 4 Okt - Sekumpulan penyelam tempatan yang mencari gamat dan kuda laut berhampiran Pulau Berhala, Rompin pada 28 September lalu menemukan sebuah kapal karam yang dipercayai kapal perang milik Jepun, Gyosin Maru, yang mempunyai beberapa artifak sejarah.

Gyosin Maru, yang dibina di pelabuhan Hitachi dilaporkan tenggelam pada Disember 1944 di perairan tersebut ketika dalam perjalanan ke Vietnam.

Penyelam, Fazry Erwan Kamaruddin, 29, berkata kapak itu ditemui dalam keadaan terbahagi dua dengan bahagian dek kapal berada pada kedalaman 21 meter manakala bahagian lagin berada di aras 23 meter.



"Ketika itu saya bersama 12 lagi penyelam lain termasuk anggota Jabatan Perikanan sedang mencari kuda laut dan gamat namun ketika menyelam agak jauh daripada kumpulan itu, saya terkejut apabila terjumpa bahagian depan kapal perang itu yang telah diselaputi karang.  

"Saya kemudian memanggil rakan-rakan yang lain untuk melakukan pencarian dan sebaik memasuki bahagian dalam kapal itu kami menemukan banyak senjata, kelongsong peluru meriam serta botol sake (arak Jepun) yang berterabur," katanya sebagaimana lapor Bernama.

Katanya, hasil pencarian lanjut, mereka turut menemukan sebahagian lagi kapal itu pada jarak 40 meter daripada bahagian dek dan kali ini ia berada lebih dalam iaitu 23 meter bawah paras laut.

Bagaimanapun di bahagian kedua kapal ini, beliau tidak menemukan sebarang barangan kerana kesemuanya hampir diliputi dengan batu karang dan rumpair.  



Fazry Erwan yang mempunyai pengalaman menyelam sejak usia belasan tahun lagi berkata, mereka turut mengambil beberapa kelongsong peluru dan botol sake bagi membuktikan penemuan tersebut.

"Kesemua barang tersebut telah diserahkan kepada anggota Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan kami yakin ia merupakan kapal perang Jepun berdasarkan penemuan botol sake di dalam bangkai kapal berkenaan," katanya.

Sebelum ini, katanya beliau sering mendengar cerita penduduk tempatan yang mengatakan banyak kapal perang Jepun karam di sekitar perairan Rompin semasa zaman perang dunia kedua, namun lokasi sebenar tidak diketahui, sehinggalah penemuan kapal itu pada 28 September lalu. - Bernama

Sumber : Bernama
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli
" "