Pemandu Teksi Hantar Mangsa Culik Diberikan Anugerah Khas Oleh SPAD
Berikutan jasanya yang menghantar pulang mangsa culik berusia lima tahun di Kajang baru-baru ini, pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi telah menerima anugerah Kategori Khas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Menurut laporan Bernama, anugerah itu diberikan kepadanya kerana kejujuran dan keprihatinannya menghantar pulang kanak-kanak berkenaan yang telah menjadi mangsa culik apabila menemui kanak-kanak berkenaan di tepi jalan.
Beliau dikatakan mengambil kanak-kanak berkenaan selepas mengecam gamabr berkenaan setelah menjadi viral di laman sosial.
Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menyampaikan anugerah tersebut kepada Hanizan pada majlis di sini malam Selasa, dan ia merupakan antara tiga anugerah baharu yang diperkenalkan.
Dua lagi ialah Anugerah Terminal Pengangkutan Awam dan aplikasi “Meter-On Ratings“.
Antara pemenang lain ialah Sani Limited Berhad (kategori bas ekspress), Handal Indah Sdn. Bhd. (kategori bas henti-henti), Colombia Leisure (kategori bas persiaran), Rapid Rail Sdn. Bhd. (kategori penyedia jalan kereta api) dan KTM Berhad (kategori inovasi perkhidmatan kereta api). - Siakapkeli.my